Kakak hidap sakit misteri

Kakak hidap sakit misteri

Oleh Nazarali Saeril, Kasdi Ali, Amir Abd Hamid dan Ravale Savarinathan
nazarali@hmetro.com.my

KLANG: Saadiah Hamzah, 38, kakak Nurul Wahida, 20, yang lari mengikut seorang buruh Indonesia ke Lombok sebelum berkahwin tanpa restu keluarga, tiga tahun lalu, tiba-tiba jatuh sakit akibat diserang penyakit misteri, pagi semalam.

Suri rumah itu gagal menggerakkan tangan selain perutnya kembung seolah-olah mengandung, kira-kira jam 11 pagi.

Kelmarin, Saadiah yang berkeadaan sihat turut bersama menjemput Nurul di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Ketika ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya di Taman Johan Setia di sini, malam tadi, Saadiah hanya terbaring di ruang tamu dalam keadaan lemah dengan tubuhnya sentiasa berselimut.

“Pagi tadi (semalam), saya keluar bilik dan berjalan ke dapur…tiba-tiba pandangan terasa gelap sebelum tumbang ke belakang. Bagaimanapun, Nurul yang kebetulan berada di situ sempat memangku supaya saya tidak terus tumbang.

“Nurul memapah saya ke sofa dan ketika itu, dada terasa sakit teramat sangat selain sukar bernafas. Saya terasa seperti hendak menghembuskan nafas terakhir,” katanya sebak.

Berikutan itu, Nurul menghubungi suami Saadiah, Lias Talib, 40, yang ketika itu keluar membaiki motosikal.

Lias segera pulang dan mendapati isterinya sangat lemah dan gagal menggerakkan badannya.

“Saya cuba menggerakkan tangan kanan dan kaki tapi tak berdaya, terasa bahagian tubuh sangat lemah. Perut saya pula tiba-tiba kelihatan kembung seolah-olah mengandung.

“Malam ini (malam tadi), suami mengambil lada hitam sebelum dibacakan selawat beberapa kali dan disapukan di bahagian tangan kanan. Selepas itu, barulah saya terasa lega sedikit manakala tangan boleh digerakkan sedikit,” katanya.

Menurut Saadiah, penyakit seperti itu pertama kali berlaku pada dirinya.

Dia akan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk mengubati penyakit misteri itu dalam masa terdekat.

“Setakat ini, saya belum mampu bangun atau bergerak seperti biasa. Saya pasrah pada Allah dengan apa yang berlaku dan berdoa agar segera sembuh kerana mahu menjaga Nurul. Saya bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadapnya.

“Ini kerana Nurul masih dalam keadaan seolah-olah tidak sedar apa yang berlaku. Saya dan anggota keluarga lain bertekad membantunya memulihkan diri dan kembali seperti dulu,” katanya.

Lias pula hairan bagaimana isterinya boleh diserang penyakit misteri itu sedangkan dia tidak pernah mengalami penyakit darah tinggi.

“Pemeriksaan doktor baru-baru ini tidak menunjukkan Saadiah ada penyakit darah tinggi,” katanya yang terkejut serta bimbang dengan kejadian berlaku terhadap isterinya.

Lias tidak menyembunyikan kebimbangan ada pihak yang akan cuba melarikan Nurul kerana ada yang membuat panggilan agak mencurigakan sejak petang semalam.

“Kami sekeluarga berharap tiada kejadian buruk berlaku tapi tetap berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Malam kelmarin, Saadiah menyambut Nurul di LCCT jam 8.39 malam sebelum kedua-dua beradik itu berpelukan dan menangis teresak-esak.

Nurul hampir pitam ketika berpelukan selama 10 minit sehingga memaksa Saadiah memapah adiknya ke kereta milik badan bukan kerajaan (NGO), Kijang Care, sebelum terus dibawa pulang ke Taman Johan Setia.

Keadaan Saadiah ketika itu sihat hingga dia tiba-tiba diserang penyakit itu, pagi semalam.

Kisah penderitaan Nurul di Lombok didedahkan Harian Metro pada 21 April lalu.

Selepas itu, pelbagai langkah dijalankan banyak pihak, termasuk Migrant Care dan badan bukan kerajaan kerajaan (NGO), Kijang Care, untuk menjejakinya bagi dibawa pulang ke Malaysia.

Nurul yang menetap di Teluk Intan mengikuti seorang buruh Indonesia ke Indonesia ketika berusia 17 tahun sejurus menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia bernikah dengan lelaki itu pada 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki, tetapi meninggal dunia ketika berusia setahun tiga bulan akibat sesak nafas.

Related posts:

  1. Sakit oh sakit…

Categories: Umum

Comments (2)

farra

March 2nd, 2010 at 10:23 am    


saya mencadangkan seorang pengamal perubatan mistik yang saya kenal. saya pernah berubat dengan beliau, alhamdulillah sembuh seperti dahulu.. Hubungi EN ZAINAL 013-3976112 jika anda ada sebarang sakit2 mistik lagi yekk.. sekadar ingin berkongsi.. ^_^

Cerah Jeff

March 2nd, 2010 at 10:58 am    


terima kasih,kalau boleh,sertakan sekali alamat dan detail en.zainal

Leave a reply

Name *

Mail *

Website