Jangan Tanggalkan Bajumu!!

Rifqi (bukan nama sebenar) sedang membelek akhbar Sinar Harian. Seketika beliau menggeleng-gelengkan kepalanya membaca pelbagai cerita yang tidak enak. Kes rogol, merompak, buli, samseng, mengedar dadah, malas belajar, menganggur, dan banyak lagi kes membabitkan golongan sejenisnya; Lelaki. Beliau cukup malu dengan imej lelaki yang ditonjolkan melalui akhbar berikut.
“Isy pakai baju lelaki, bermisai, berjanggut tapi buat kerja tak senonoh. Memalukan kaum lelaki betul.”
Rifqi tekad untuk membuang segala imej lelaki yang ada pada dirinya kerana berpendapat kalau dia melakukan kesalahan tidaklah memalukan kaum lelaki. Maka beliau menyarungkan baju kebaya oren, bersama tas tangan merah jambu dan memakai selendang merah dan berjalan menuju ke Unisel. Apabila ditegur (baca:dimarah) oleh orang lain, dengan pantas Rifqi membidas,
“Elleh korang tu pakai je macam lelaki, tapi bacul, malas belajar, asyik duduk melepak, membazir masa, bergaduh, buat malu kaum lelaki je. Baik macam aku ni, kalau buat salah takdelah malukan kaum lelaki. Lagipun korang sebuk2 nak tegur aku ni, banyak lagi orang macam aku kat jalan TAR, Chow Kit, haa pergilah tegur diorang tu. Iiiii menyampah!!”
Dengan common sense yang anda ada tentu sekali anda mampu menafsirkan tindakan Rifqi bukan lagi tidak tepat bahkan boleh dikatakan gila. Kerana dengan segala imej buruk yang melanda kaum lelaki, tak mungkin maruah lelaki terbela dengan cara Rifqi membuang imej lelaki dari dirinya dan menyarung imej perempuan. Sangat menentang tabii.
Malangnya, begitulah reaksi kebanyakan kita apabila berdepan dengan masalah-masalah yang melanda umat Islam.
“Elleh pakai tudung labuh tapi buat maksiat. Buat malu Islam je”
“Elleh sembahyang jemaah kat surau, tapi tengok cerita lucah. Apa daaa”
“Elleh pakai serban, tapi keluar dating dengan perempuan.”
Anda kecewa dengan sikap segelintir pihak yang mengeksploitasi imej Islam. Menyarung serban dan purdah, tapi bercumbu di tepian tangga. Kerana itu anda merasakan adalah lebih mulia sekiranya anda membuang segala imej Islam pada diri, supaya nanti jika anda melakukan kesalahan, maruah anda sahaja yang rosak, bukan maruah Islam. Biarlah luaran nampak jahat, asalkan dalam hati baik. Sungguh tidak masuk akal.
Maka tiadalah beza anda dengan watak Rifqi sebentar tadi yang berpendapat, dengan membuang imej lelakinya dapat membuktikan pada dunia, bahawa biarlah nampak ‘ayu’ pada perwatakan, asalkan dalam hati ‘jantan’ sejati.
Rasa meluat kepada mereka yang berpura-pura bertopengkan imej Islam ini kian dipupuk, hingga apabila ramai yang menegur anda mula rimas. Anda merasakan apa yang anda lakukan adalah normal, perkara biasa apabila dunia masa kini dijadikan cerminannya. Kerana semua orang turut berbuat dosa yang anda lakukan, bahkan ada yang lebih teruk lagi. Maka anda bangkit berteriak kepada dunia, bahawa di atas bumi ini ramai lagi yang lebih teruk daripada anda, pergilah tegur mereka.
Yang ditegur bercouple, menuding jari minta ditegur orang yang minum arak.
Yang ditegur akhlak, menghamburkan hujah minta ditegur orang yang rosak akidah.
Dengan sikap seperti ini anda telah melangkah setapak lagi, ke arah berasa selesa dengan aktiviti dosa. Mudah sahaja, setiap kali anda rasa bersalah, toleh kiri toleh kanan, dan muhasabah diri bahawa ramai lagi yang lebih teruk berbanding anda. Bahawa dosa anda itu, tidaklah sebesar mana, senang-senang je Allah nak ampunkan. Kan Allah itu maha Pemurah lagi maha Penyayang.
Bagi mengurangkan pula rasa bersalah yang sesekali berputik dalam diri anda, anda terbitkan pula pelbagai persoalan tentang keseimbangan dunia. Dunia yang seimbang perlulah ada yang putih dan hitam, kalau ada yang terpuji mesti ada yang terkeji. Manusia juga perlulah seimbang dunia akhirat. Sembahyang, sembahyanglah jugak, tapi jangan lupa nak enjoy. Atas alasan keseimbangan ini anda merasakan;
Kalau semua orang nak solat jemaah siapa nak solat kat rumah.
Kalau semua orang nak pakai tudung labuh, sapa nak menggayakan rambut.
Kalau semua orang sibuk bercakap pasal Allah, siapa nak bercakap pasal makhluk Allah.
Dan anda merasakan anda lah orang itu. Penyelamat dunia dengan menjaga keseimbangan alam. Di kala orang sibuk bermunajat, anda seimbangkan dengan maksiat. Dengan itu anda melangkah ke final stage melakukan dosa, merasa bangga dengan dosa dan mempromosikannya kepada orang lain. Anda merasa bangga kerana anda orang berprinsip. Bahawa anda memandang dunia dengan pandangan moden dan global. Bahkan anda tidak segan silu mencaci mereka yang menyeru anda kembali kepada Islam sebagai jumud dan kuno, tidak dapat menerima kemajuan dan sebagainya. Ditambah pula dengan banyaknya insiden-insiden pak haji berserban ditangkap merogol anak sendiri dan seumpanyanya, lidah anda semakin galak berhujah. Maka saat itu berjayalah syaitan dalam menarik anda menemani mereka, memusuhi Islam.
Rentetan kisah yang saya nukilkan di atas, mungkin tidak berlaku kepada anda, tetapi itulah realiti yang melanda banyak remaja di sekeliling anda. Seperti yang disyarahkan dalam majalah solusi edisi keempat, peringkat-peringkat pelaku dosa ada 4. Pertama rasa bersalah dengan dosa, kedua rasa biasa dengan dosa, ketiga rasa selesa dengan dosa, dan keempat merasa bangga dan mempromosikan dosa.
Saya menyeru kepada diri saya sendiri, dan kepada siding pembaca, agar menghayati hadis di bawah:
“Daripada al-Nawwas bin Sam’aan Radiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadith Riwayat Muslim]
Allah mengilhamkan kepada jiwa-jiwa kita petunjuk keresahan untuk menjadi indikator bahawa kita tersilap langkah dan menjadi petanda bahawa kita harus bertaubat. Maka janganlah pula apabila terbit rasa resah, rasa bersalah dalam hati, cepat-cepat pula kita padamkan. Kita hamburkan hujah-hujah yang sungguh bertentangan dengan tabii (common sense) supaya kita boleh merasa selesa dengan dosa yang kita lakukan.
Mungkin benar kata pepatah, kita sekarang bukan sahaja kurang common sense, tapi terlalu banyak uncommon sense yang perlu dibuang.
Saya berdoa jika hari ini saya terdengar ungkapan:
“kalau semua orang nak jemaah kat surau siapa nak sembahyang kat rumah”
janganlah pula esok-esok kita terdengar pula ungkapan :
“kalau semua nak masuk syurga, siapa nak masuk neraka”
Naudzubillah. Minta dijauhkan.






tahniah…entri yg sgt bertepatan dgn baai sekarang
cuma sgr tertarik dgn ayat ni
“Maka janganlah pula apabila terbit rasa resah, rasa bersalah dalam hati, cepat-cepat pula kita padamkan. Kita hamburkan hujah-hujah yang sungguh bertentangan dengan tabii (common sense) supaya kita boleh merasa selesa dengan dosa yang kita lakukan.”
Nauzubillah
semga dijauhkan
alhamdulillah…
insyaAllah dpt muhasabah kpd ana dan kwn2 lain2..
“Maka janganlah pula apabila terbit rasa resah, rasa bersalah dalam hati, cepat-cepat pula kita padamkan. Kita hamburkan hujah-hujah yang sungguh bertentangan dengan tabii (common sense) supaya kita boleh merasa selesa dengan dosa yang kita lakukan.” = fenomena mengurangkan rasa
bersalah..mintak2 kita dijauhkan dari fenomena ini..
sokong fahrin
sokong fahrin
100% sabsei desu!
“Allah mengilhamkan kepada jiwa-jiwa kita petunjuk keresahan untuk menjadi indikator bahawa kita tersilap langkah dan menjadi petanda bahawa kita harus bertaubat”
sgt setuju dgn ayat ni.. kdang2 resah ni sendiri blh mkn diri kalau x bertaubat dgn segera.. itu pendpt sy shja.