Guru Jasamu Dikenang
Teringat satu cerpen semasa berada di bangku sekolah menengah rendah,cerita tentang seorang pelajar yang miskin yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi hadiah kepada seorang gurunya akhirnya dia menghadiahkan pucuk-pucuk ulam kepada gurunya.Walaupun pemberian yang tidak seberapa,namun hadiah yang tidak bernilai itu mampu mengalirkan air mata si guru.Sungguh menyentuh hati.
Semua manusia perlukan guru kerana sifat azali manusia ialah jahil dan untuk mengatasi kelemahan ini manusia kena belajar.Secara automatik,apabila manusia kena belajar,manusia perlukan insan bergelar guru hatta nabi Muhammad sendiri memerlukan Jibrail sebagai guru peribadi baginda.
Imam Syafie,seorang manusia yang kepandaiannya,kecerdikannya, kehebatannya dalam berfikir yang sering menjadi buah mulut manusia juga mempunyai ramai guru dan antaranya Imam Malik.Betapa insan yang genius ini menghormati gurunya,apabila berada di kawasan gurunya,dia akan mengikut tata cara gurunya walaupun dia mempunyai pendapatnya sendiri.
Namun begitu,satu fenomena baru melanda negara kita apabila profession perguruan dijadikan profession penyelamat daripada pengangguran oleh beberapa pihak.Seorang pelajar yang belajar undang-undang,setelah dia grad, dunia undang-undang tidak memerlukannya,lalu dirayunya ke dalam jabatan pendidikan.Akhirnya,seorang yang pengkhususan di dalam undang-undang menjadi seorang guru bahasa inggeris di sekolah.Persoalannya, adakah sama orang yang belajar untuk mendidik dan dia mendidik dengan orang yang belajar undang-undang tetapi dia mendidik?
Antara Mendidik dan Mengajar
Berkali-kali Jabatan Pendidikan Malaysia bertukar nama,sekejap jabatan pendidikan dan sekejap jabatan pelajaran.Kalaulah mendidik dan mengajar ini sama,mengapa nama pun menjadi satu isu besar sehingga terpaksa diubah berkali-kali?
Mendidik secara mudah dapat disamaerti dengan mengajar secara amali manakala mengajar pula adalah sekadar memberitahu sesuatu pengetahuan. Sebagai contoh,ayah mendidik anak menjadi orang yang beriman bermakna ayah itu sendiri kena tunjuk macamana nak jadi orang yang beriman. Berlainan pula jika kita katakan ayah mengajar anak untuk menjadi orang beriman yang mana membawa maksud ayah memberitahu ciri-ciri orang beriman kepada anaknya tanpa menunjukkan macamana sifat orang beriman.Inilah perbezaan antara mendidik dan mengajar.
Mengajar kebiasaannya dikaitkan dengan permasalahan akal manakala mendidik pula sememangnya dikaitkan dengan permasalahan akal dan hati. Seorang pendidik sememangnya inginkan anak didikannya faham dan berjaya manakala seorang pengajar kebiasaannya inginkan anak ajarannya faham.
Guru yang hebat adalah guru yang mendidik bukan guru yang mengajar. Jika kita perhatikan sistem sekolah pondok,para ustaz menjadi qudwah hasanah bagi anak didik mereka berbanding di sekolah-sekolah kerajaan.Guru yang menegur jangan hisap rokok tetapi apabila tiba waktu rehat,guru itu pergi ke belakang kelas untuk hisap rokok.Tidak salah,tetapi itu mengajar bukan mendidik.
Masalah-masalah yang timbul antara murid dan guru selalunya timbul apabila guru itu mengajar bukan mendidik.Seorang guru cuba mengajar murid-muridnya supaya berdisiplin,lalu disuruhnya buat itu buat ini sehingga membebankan si murid.Sesiapa yang melanggar peraturan akan dirotan.Maka murid itu memberontak,hasilnya kes-kes guru rotan murid terpapar di dada-dada akhbar.
Namun berbeza apabila guru itu cuba mendidik murid-muridnya supaya berdisiplin.Pendidik akan mengenal siapa anak didiknya dan dia akan ubah cara pendidikannya bersesuaian dengan anak didiknya. Jika pendidik ini gagal,pasti mereka akan cuba lagi dengan cara yang berbeza tanpa mengenal erti putus asa.Kegagalan anak didiknya mengikut peraturan yang ditetapkan, bukanlah salah anak didiknya,tetapi pada fikirannya,masih terdapat kekurangan pada dirinya yang harus diubah.
Memuliakan Insan Bergelar Guru
Biarpun guru kita itu ialah pendidik atau pengajar,yang pasti kita terhutang ilmu dengannya.Adakah anda masih ingat guru-guru di tadika anda dahulu? Ketahuilah mereka adalah insan yang paling berjasa di dalam hidup anda. Mereka mengajar anda sehingga anda tahu membaca ‘abc’ dan ‘abc’ ini anda gunakan untuk dapatkan ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah.Pernah anda berterima kasih kepada mereka?Picit dahi,tanya iman.
Jika dibuat satu hieraki kemuliaan,guru berada di tempat paling atas. Pada pandangan Islam,profession perguruan adalah profession yang paling mulia. Jika kita makan bersama guru kita,wajib ke atas kita mendahulukan mereka. Jika di atas meja ada seketul sahaja ayam,Islam menyuruh kita memberi ayam itu kepada guru kita.
Apabila berjumpa,hulurkan salam dan lontarkanlah senyuman kepada mereka. Walaupun terkadang mereka tidak menjawab salam yang diberi dan membalas senyuman yang dilontarkan,namun jauh di lubuk qalbu mereka yang mereka gembira dengan kita.Mungkin pada masa itu,mereka sibuk memikirkan keputusan peperiksaan kita yang teruk,siapa tahu?
Islam kah guru kita,kafir kah guru kita,mereka tetap guru kita.Islam menyuruh umatnya menghormati insan yang bergelar guru tanpa memandang agama dan ilmu yang diberi.Tanpa mereka, dari mana kita dapat semua ilmu?
Jika kita meminjam kayu ukur Saidina Ali dalam melabelkan seseorang sebagai guru,nescaya ramai guru yang kita terlepas pandang.Pada Saidina Ali, sesiapa sahaja yang mengajarnya walaupun satu ayat,mereka ialah gurunya.Inilah tahap seorang sahabat dalam menghormati insan bergelar guru.
Di dalam doa anda,anda mendoakan kebahagian mereka?Jika tidak,mulai sekarang,masukkanlah mereka ke dalam doa anda.Doa lah supaya Allah merahmati mereka di dunia dan di akhirat.Benar,ada sesekali mereka terkasar bahasa dengan kita tetapi pernah tak kita fikir berapa kali kita tidur di dalam kelas dia sehingga dia seakan-akan mengajar tunggul kayu?Satu kelas tidur kecuali seorang tetapi dia tetap bersemangat mengajar kita, pernahkah anda terfikir perasaan mereka?
Aq tidak menafikan,aq jaguh tidur di dalam kelas.Namun persoalan yang cuba aq ketengahkan,adakah kita berterima kasih dengan guru-guru kita? Sahih,memberi mereka hadiah dan mengucapkan selamat hari guru melambangkan tanda terima kasih kita kepadanya,namun adakah anda mesra dengan mereka?Anda senyum tika bertemu?Anda memberi salam pabila berjumpa?Anda berbual dengannya semasa makan?
Sememangnya ada hijab di antara kita dengan guru kita,aq tidak dapat nafikan.Namun,kita mampu kurangkan hijab itu,kita mampu merapatkan hubungan kita dengan mereka supaya mereka berasa senang dengan kita.
Selamat Hari Guru
Istimewanya Malaysia kerana mempunyai sambutan yang penuh dengan makna ini berbanding negara-negara lain.Negara kita mengangkat profession perguruan ini sehingga mewujudkan satu hari untuk meraikan para guru. Berlainan di Jepun,guru hanyalah sebelum grad.
“Dulu,semasa graduation day,kami jumpa dengan sensei yang mengajar kami,” ujar Sakurai Sensei.
“Semua orang minta maaf daripada sensei dan sensei pun minta maaf daripada kami.Seorang kawan saya cakap dia tidak maafkan sensei dan dia ingin menampar muka sensei.Alangkah terkejutnya saya,sensei membenarkannya dan dia pun menampar muka sensei,”ujarnya lagi.
“nande?(kenapa?)”Kami bertanya.
“Kawan saya cakap kat sensei tu,semasa dia mengajar kawan saya,sensei tu penah baling kapur semasa kawan saya tidur.Kawan saya tidak berpuas hati jadi dia berdendam dengan sensei dan dia tunggu hari ini untuk balas balik, ” jawab Sakurai Sensei.
Itulah realiti yang berlaku di Jepun.Sensei tidak dihargai seperti di Malaysia. Kita patut bersyukur kerana menjadi warganegara kepada sebuah negara yang memuliakan profession perguruan.
Ingatlah,teruk mana sensei kita,bagus mana sensei kita,mereka tetap berjasa kepada kita.
“Selamat Hari Guru”






berburu di padang datar,
dapat rusa berbelang kaki,
berguru kepalang ajar,
ibarat bunga kembang x jadi…
nak tanye.kat mana amik gamba ni eh?