Biar Saya Jadi Perogol!
Orang yang tidak beragama sekalipun sangat marah apabila kita katakan kepada mereka bahawa mereka adalah ahli neraka, kalau tidak percaya, cuba lakukan. Mahu dilempangnya kepala kita, disepaknya perut kita. Percaya atau tidak, itulah fitrah, semua orang inginkan sesuatu yang baik dan menolak sesuatu yang buruk.Ya, saya pernah berjumpa dengan manusia-manusia pada lisannya tidak kisah untuk masuk neraka tapi saya percaya bahawa jauh di sudut hatinya bahawa dia sesekali tidak ingin dirinya dicampak ke neraka.
“kalau semua orang nak masuk syurga, sapa nak masuk neraka?” Jawab dia yang suka bergurau.
“biarlah syaitan dan kuncu-kuncunya masuk ke dalam neraka!” Balas saya balik, dia terus terdiam.
Minggu yang lepas, kami(pelajar JAD batch8) menghadiri satu kem ibadah dan rehlah yang dianjur oleh Yayasan Ilmuan dan JAPEMA. Pengisiannya cukup menyeronokkan. Apa yang ingin saya kongsikan kepada anda semua ialah satu ayat daripada seorang motivator kem tersebut. Katanya, “di akhir zaman,akan lahir orang-orang fasik yang petah berbicara tentang agama.” Ayat yang biasa didengar, cuma kali ini ayat biasa ini terus menempelak diri yang kerdil ini.
Kebelakangan ini, penulisan baru sekerat jalan, saya sudah kebuntuan, akhirnya semua disimpan ke dalam draft. Saya cuba muhasabah diri ini, apakah diri ini ada lakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh seorang pendakwah? Subhanallah, alangkah terkejutnya saya pabila bermuhasabah, begitu banyak dosa yang dilakukan oleh diri ini dalam sedar atau tidak. Tidak hairanlah, mutu penulisan(seni berdakwah) semakin merosot.
Kadang-kadang, apa yang saya larang di Azzariyat pun saya lakukan dan apa yang saya suruh, saya tidak lakukan. Astagfirullah, moga Allah mengampunkan diri ini. Saya terus berfikir, kalau beginilah cara hidup saya, pasti neraka milik saya. Mana tidaknya, saya larang orang lakukan maksiat tapi dalam masa sama, itulah kehidupan saya dan saya suruh orang lakukan kebaikan tapi saya sendiri tidak lakukannya. Fikirkan tentang neraka, hati ini mula berdebar-debar. Saya tidak fikir tentang azab neraka yang panas menggelegak tapi azab yang saya fikir ialah malu ketika dilewati oleh mereka yang masuk ke dalam syurga berkat dari penulisan saya di Azzariyat.
Tidak, saya tidak mahu masuk ke dalam neraka. Kemudian terlintas di kepala, Allah kan maha penyayang tapi kenapa Dia ciptakan neraka? Kan senang kalau Allah ciptakan syurga, jadi semua manusia akan ke syurga, tidak kira baik ataupun tidak. “Ah, dunia inikan cubaan, jadi syurga dan neraka itu keputusan bagi cubaan!” monolog insan kebingungan. Walaupun jawapan itu tidak memuaskan hati saya kerana tidak berapa kukuh tapi saya cuba bertenang dengannya.

Alhamdulillah, ketika membuka email petang tadi, saya dapat satu ‘forward’ mesej dari sahabat satu jemaah yang bertajuk, “kalau tuhan itu baik kenapa sediakan neraka?” Email tersebut adalah seperti yang dibawah:
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar ‘Membangun
Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut/mendadak di tempat perniagaan dan kompleks jual beli-belah, untuk memastikan para pekerja di berkenaan/setempat menutup aurat.
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda lah…
Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan/aturan yang ditetapkan.
Lazimnya dlm setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.
Setelah surat diberikan oleh pegawai PBT, Ustaz ni pun bagi la nasihat, “lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan. Peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah.Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga. Kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka…”
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak “KALAU TUHAN TU BAIK, KENAPA BUAT NERAKA? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?”
Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung/jilbab.
Ustaz tu terkedu/terkejut sekejap. “Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.”
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:
“Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Lebih baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam. Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused..
Ustaz tu pun jelaskan .”perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok/senang. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga, lepas itu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?” tanya ustaz.
“Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je.” Rungut si gadis. Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”Gadis tu terdiam.
Ustaz mengakhiri kata-katanya: “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. “
Pembaca sekalian, dunia ini adalah cubaan,peperiksaan kepada kita, kalau kita baik di dunia, Allah sediakan sesuatu yang baik untuk kita di akhirat kelak tapi kalau kita jahat di dunia, buruk jugalah pengakhiran kita nanti. Betapa adilnya Allah, Dia sediakan kepada kita syurga dan neraka supaya kehidupan kita di dunia berjalan dengan lancar mengikut kehendak Nya.
“kalau macam tu,baik buat syurga je..eerrr,maksud saya,yang baik ke syurga dan yang jahat hilang terus. Kirenye bonuslah buat mereka yang berbuat baik di dunia, lagi baik dan adil coz takde yang akan diseksa.”
Logik!Tapi saya bagi anda semua sebuah analogi.
Katakan ada 3 orang pelajar, Budin, Cudin dan Dudin.
Budin dijaga dan dimanja oleh ibu bapanya. Kemahuannya dituruti walaupun kehendaknya itu membazir. Dia diberi segala kesenangan dan kasih sayang. Ibu bapanya tidak pernah terlepas daripada menghadiri mesyuarat PIBG dan majlis graduasinya.
Cudin diberi makan oleh ibu bapanya namun ibu bapanya sibuk berkerja sehingga dia selalu kesepian. Dia dimarahi dan didenda jika tidak berjaya untuk mendapat markah tertinggi di dalam kelas dan dia juga dipaksa untuk mengemas rumah dan menjaga adiknya ketika ketiadaan ibu bapanya. Pendek kata, hidupnya walaupun kaya raya namun penuh dengan kesedihan.
Dudin ada ibu bapa namun ibu bapanya sesekali tidak pernah ambil kisah tentangnya. Dia dipinggirkan,kewujudannya dinafikan.
Baiklah,antara ketiga-tiga pelajar ini, yang mana paling baik? Mestilah Budin kan sebab dia bagaikan berada di Syurga, penuh dengan nikmat dan kasih sayang. Yang paling teruk? Mungkin ada yang jawab Cudin sebab dia diseksa, dirotan oleh ibu bapanya tapi yang paling teruk sebenarnya adalah Dudin kerana kewujudannya dinafikan. Kerana kasih dan sayanglah Allah ciptakan Syurga dan Neraka, Allah tidak biarkan umat manusia hilang begitu sahaja kerana itu lagi teruk daripada diseksa di dalam api neraka.
Ingatlah, kerana kasih dan sayanglah, Allah ciptakan syurga dan neraka, maka saya menyeru kepada diri saya dan pembaca, beramallah supaya syurga menjadi milik kita. Kata Abraham Lincoln, “jangan ditanya apa yang Amerika bagi kepada mu,sebaliknya tanyalah apa yang kamu bagi kepada Amerika. “Usahlah ditanya kenapa mesti beriman kepada Allah, kenapa Allah buat itu, buat ini, kenapa dan kenapa sebaliknya tanyalah kenapa diri ini masih tidak beriman kepada Allah.
Related posts:
- Kalau Google Jadi Ustaz
- Biar Allah Suapkan Nasi…
- Belajar Jadi Isteri Menyenangkan Dari Ummu Dahdah
- Saya Islam Dan Saya Tidak Gay
- Nak Jadi Hebat Tak Perlu Jadi Orang Lain
Categories: Azzariyat, Islam, Mesti Baca, Muhasabah




Comments
No Comments
Leave a reply