Semalam Yang Hilang…

We will never miss the water till the well runs dry…

Apa erti semalam kepada kita?

Seringkali kita melewati kehidupan ini tanpa membawa apa-apa erti kepada hari yang telah kita lalui. Begitu kita memanjakan hati dan akal, daripada usaha memikirkan hikmah keberadaan kita di sesuatu tempat pada hari ini. Kita lupa untuk meninggalkan kesan (baik) kepada persekitaran yang kita singgahi. Maka sehari lagi berlalu, tanpa apa-apa erti.

Saya tidak mulakan dengan bertanya apa erti hari ini kepada kita? Kerana hari ini masih belum berakhir, dan kita masih boleh merencana pelbagai alasan dan jawapan untuk menjustifikasikan bagaimana kita memanfaatkan hari ini. Sedangkan, boleh jadi, apa yang kita rencanakan, tinggal rancangan yang diatur untuk menyedapkan perasaan, dan tidak pernah kita serius untuk menjadikannya kenyataan.

Maka mari kita bertanya, apa ertinya semalam kepada kita? Kerana semalam tidak pernah menipu. Jejak-jejak yang kita tinggalkan semalam terakam kemas dalam catatan balasan dosa atau pahala.

Hari ini, ketika mencoret tulisan ini, saya merindukan semalam. Rindukah anda juga pada semalam?

Semalam ketika bersama rakan-rakan minum-minum di Syasya (nama kedai makan) selepas mengulangkaji.

Semalam ketika melalak di dalam rumah setelah kepala tepu dengan ulangkaji peperiksaan.

Semalam ketika berjalan malas menuju bas ke Unisel sambil tangan memegang kertas kanji (tulisan jepun) yang akan diuji hari ini.

Semalam ketika bergelak ketawa sesama rakan dalam program ‘family day’, ‘robocon’, ‘jamuan hari raya’ dan sebagainya.

.

Bukan itu yang saya rindukan hari ini.

Hari ini, ketika angin sayup-sayup menampar muka, menambahkan kedinginan di bumi sakura ini, air mata tumpah, tatkala seorang diri mengangkat takbir menunaikan solat. Saya rindukan semalam, di mana kita sama-sama berjemaah di surau. Ada imam yang bacaannya lunak, ada yang panjang, ada yang pendek. Makmum berbaris-baris di belakang imam. Ada yang memberikan peringatan sesudah solat isyak. Bersalam-salaman, bertukar khabar, berbalas senyuman, di surau.

Biar ada ketika surau itu panas tanpa kipas.

Biar ada ketika hati panas, bergaduh dengan sesetengah pihak.

Namun di situ ada ketenangan. Ada ukhuwah yang dijalin kerana Allah.

Semalam itu yang saya rindukan, tatkala bersendirian di sini, hari ini.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

[5:6]

.

Betapa tanpa kita sedar, Allah mempermudah segala urusan kehidupan kita, hatta untuk beribadah menyembah-Nya, yang telah menjadikan kita dengan segenap kesempurnaan. Namun dengan segala kemudahan yang Dia lorongkan, supaya kita bersyukur, masih lagi, kita gagal mensyukurinya.

Kemudian aku (syaitan) datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.

[7:17]

.

Suara muazzin dipanjangkan ke telinga kita setiap kali tiba waktu solat.

Sebuah surau terbina indah sempurna untuk kita berjemaah.

Lif dan tangga tersedia membawa kita turun 13 tingkat untuk menyahut seruan bilal.

Segala kemudahan, kesihatan, kekuatan dibekalkan supaya tidak ada lagi alasan untuk kita tidak berjemaah.

Namun akhirnya, kita memilih untuk memekakkan telinga, dan menyambung kerja (report, syukudai [homework], main ‘games’) seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Apakah namanya itu, kalau bukan ‘tidak bersyukur’?

Apalah erti azan yang sampai ke telinga kita, jika hanya membuatkan kita diam seketika daripada bercakap ketika azan. Sepertimana budaya dan adat kita, diam ketika azan untuk menghormati azan. Bukan begitu sayangku, cara menghormati azan. Menghormati azan adalah dengan menyahut seruannya.

Masih belum terlambat untuk kita sama-sama muhasabah diri dan mengubah gaya hidup. Kerana hari ini masih milik kita. Jangan nanti hari ini menjadi semalam, dan kita hanya boleh merindu dari kejauhan, dan menyesali jejak-jejak semalam yang kita tinggalkan tanpa apa-apa kebaikan.

Jom solat jemaah!

Related posts:

  1. Jumaat yang hilang serinya..
  2. dosa semalam…
  3. Yang datang dan hilang…
  4. Hilang barang,Hilang iman..
  5. Ibrahim Adham:Pemimpin yang menjadi hamba

Comments (3)

TakuboY

April 5th, 2010 at 1:40 pm    


Nk nangis bace artikel ni..alhmdulillah,stakat ni
masih hidup solat berjemaah d takudai n smalam
g hanami pun,berjya solat jemaah di tempat
awam..doakan kami terus istiqamah

cikmut

April 5th, 2010 at 10:29 pm    


Subhanallah..
article menarik yang mencubit hati kecil ini
untuk turut sama rasa sedih dan rindu kpd ‘semalam’
sama2 doakan kita jadi lebih baik dr ‘semalam’

insyirah

April 11th, 2010 at 10:17 pm    


salam,
artikel yg memang sungguh menggamit rasa menyentuh jauh sudut hati.artikel yang mengingatkan hari2 semalam yang indah bersama teman menunaikan kewajipan padaNya.bila semakin jauh semakin kita rindu kenangan semalam.rindula nk dgr azan kat sni.rindu juga nak solat jemaah dgn barisan jemaah yang panjang mcm dlu.semoga kita sama2 trus kuat mengekalkan aqidah yang dipegang.

Leave a reply

Name *

Mail *

Website