Berilah selagi masih mampu
Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain
Riwayat Bukhari dan Muslim
Pernah anda mendengar ungkapan ‘no man becomes rich unless he enriches others’? Begitulah juga apa yang disampaikan dalam hadis di atas. Orang yang berjaya bukanlah yang mencipta atau menghasilkan sesuatu, tetapi mampu memberi manfaat kepada yang lain. Bukan keperluan diri sahaja dipenuhi malahan mampu untuk memenuhi keperluan orang lain.
Tangan yang memberi
Apabila disoal manakah yang lebih gembira, memberi ataupun menerima? Pasti majoriti antara anda menjawab yang menerima itu lebih gembira bukan. Saya bawakan anda sebuah kisah:
Terdapat seorang anak kecil yang hidup bersama dengan seorang ibu. Ketika ibunya hendak keluar, anak kecil tersebut berpesan kepada ibunya untuk membawakan patung mainan untuknya. Sebagai seorang ibu, pastinya tekad dan usaha dicurahkan dalam pencarian patung mainan tersebut, bukan? Setelah puas mencari, akhirnya patung mainan tersebut dijumpai. Ketika pulang, si anak menunggu di hadapan pintu dengan wajah yang ceria. Tentu tidak ingin sekali sebagai seorang ibu untuk menghampakan anaknya. Dengan wajah tersenyum riang si ibu memberikan patung mainan yang dicarinya kepada anaknya. Anaknya melompat keriangan.
Dalam kisah diatas, saya tanyakan sekali lagi soalan yang sama. Siapakah yang lebih gembira? Dalam logik akal manusia, si ibu pasti tersenyum gembira melihat gelagat anak yang ceria. Gembira itu pada yang memberi, bukan? Mengapa ibu lebih gembira berbanding anaknya? Kerana kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Ibu mana yang tak sayangkan anak? Dengan pemberian yang penuh dengan kasih sayang, memberi itu tidak mengurangkan, malah mampu untuk membuahkan hasil. Hukama berkata, harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberi ke jalan Allah. Yang lain, kita hanya menjadi tukang simpan, bila kita mati, harta itu kita tinggalkan dan diwariskan.
Satu pinjaman
Ambil masa dan renungkan. Segala yang diperoleh adakah milik kita? Mungkin ramai yang beranggapan. “Ah, susah-susah aku kerja, nak bagi sedekah pula.” ataupun “Dia tak buat apa-apa pun, nak buat apa saya bagi harta saya.” Renungkan kembali. Dengan apa yang anda peroleh harta tersebut? Anggota ini milik anda? Tenaga ini milik anda? Segala-galanya milik anda? Tidak perlu untuk saya ulaskan kerana anda punya jawapannya. Tanpa kita sedari, mungkin kita adalah saluran Allah untuk memberi tetapi kita sekat saluran tersebut. Kita sekat saluran rezeki yang Allah turunkan kepada orang lain melalui kita.
“Rezeki ini saya yang punya, atas anggota pinjaman Allah lah saya berusaha dan peroleh rezeki ini.” Bagaimana anda tahu itu rezeki anda? Adakah sudah tertulis padanya itu adalah milik anda. Kita tidak tahu sejauh mana Allah letakkan rezeki kita. Mungkin pada yang kita peroleh itu telah tertulis untuk orang lain. Tidakkan anda merasa zalim sekiranya tidak memberi pada yang sepatutnya menerima?
Memberi bukan sahaja harta
“Tapi, saya tak punya apa-apa. Apa yang mampu saya berikan?”
Jangan pula sempitkannya pada harta kerana memberi itu bukannya hanya dengan harta, tapi dengan tenaga, doa, senyuman, ilmu, sangka baik. kemaafan. Banyak yang boleh diberi. Persoalannya akhirnya kembali kepada kita. Adakah mahu ataupun tidak untuk memberi?
Selalunya terasa berat di hati untuk memberi padahal apa yang kita keluarkan untuk orang lain itu adalah rezeki.
Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui.
al-Baqarah:261
Janji Allah itu telah pasti. Mengapa perlu tunggu lagi?
Dalam pemberian kita terlalu mengharapkan untuk dibalas, bukan? Kajian menunjukkan majoriti manusia tidak pandai berterima kasih. Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih kita akan kecewa setelah memberi? Adilkah kita dilupakan setelah memberi? Persoalan tersebut berbalik kembali kepada diri kita. Setelah sekian banyak nikmat yang Allah berikan, sedikit sekali daripada kita yang bersyukur. Allah sendiri menegaskan sedikit sekali daripada hambaNya yang bersyukur. Adilkah kita? Kita mengharap untuk ucapan terima kasih tetapi Allah yang Maha Besar tetap memberi walaupun hambaNya tidak bersyukur.
Memberilah, kerana sesiapa yang tidak memberi ertinya tidak memberi kepada diri sendir! Ingatlah darjat kemuliaan seseorang itu dapat dilihat daripada sudut sejauh mana dirinya mempunyai nilai manfaat kepada orang lain. Kelebihan yang ada pada kita hakikatnya adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.






teringat kisah seorang sahabat Rasulullah. Dia seorang fakir miskin,tapi bila terdengar ayat2 quran tentang infaq harta,dia pun berkerja dan gajinya diinfakkan sepenuhnya kepada Islam. Subhanallah!
ya Allah, semoga aku juga mampu untuk beri manfaat kepada org lain…amin