Semut…
When I hear somebody sigh,
“Life is hard,”
I always tempted to ask,
“Compared to what?”
-Sydney J. Harris-
Letih kan hidup ni? Banyak perkara kita perlu belajar, banyak perkara perlu kita kejar.
Dikejar dan mengejar. Masa, wang, keluarga, rakan, cikgu, pensyarah, penyakit, kesihatan, ketenangan, kebahagiaan, kebebasan, kemerdekaan, kepuasan, cita-cita, angan-angan, impian, cinta, rindu, dendam, benci, sayang, suka…..
Sibuk. Kita dipaksa, memaksa dan terpaksa untuk sibuk demi survival dalam kehidupan yang semakin menggila ini. Sehingga mungkin adakala, sibuknya kita itu, sampai tak terpandang perkara-perkara yang mungkin kecil di mata kita, tapi sebenarnya kalau diperhati elok-elok, sangat manis sebenarnya. Nikmat-nikmat ‘sweet’ yang Allah kirimkan kepada kita, tapi kita jarang perasan.
Mari hari ini kita ambil masa sedikit, di samping ramadhan yang berbaki ini, mari kita fikirkan nikmat-nikmat kecil yang sebenarnya menceriakan hidup kita, tapi kita selalu tak perasan…
Hari ini saya ingin berkongsi tentang nikmat Allah yang kecil, tapi besar maknanya dalam kehidupan kita.
Semut
Mungkin ramai yang tidak tahu, bagi setiap 40 orang manusia yang dilahirkan, terdapat kira-kira 700 juta semut dilahirkan ke dunia. Banyak kan?
Saya ada 8 orang adik beradik. Anda ada berapa orang adik beradik? Katakanlah antara kita ada yang mempunyai keluarga berjumlah 15 orang. Mesti selalu kita bergaduh sesama adik beradik (setidak-tidaknya semasa kanak-kanak dahulu). Tetapi hebatnya semut ini, keluarga mereka berjuta-juta semut, namun mereka masih boleh hidup serumah dengan aman dan harmoni. Bahkan tidak ada rusuhan, tidak ada masalah perebutan kuasa, mereka boleh hidup dalam keadaan yang sungguh terancang dan mematuhi peraturan.
Semut mempunyai sistem pembahagian tugas yang sangat teratur. Sesetengah semut bertugas sebagai tukang jahit, sesetengah semut bertugas sebagai peladang, sesetengah bekerja sebagai penternak binatang. Kalau manusia memelihara lembu untuk mengambil susu daripadanya, semut juga memelihara kutu-kutu daun untuk mengambil susu daripadanya. Seperti mana manusia, semut pun ada bercucuk tanam juga (nanti akan diceritakan lebih lanjut). Huhu comel kan semut ni? Subhanallah!
Struktur sosial Semut
Semut diketuai seeokor ratu semut yang lebih besar daripada semut-semut lain. Semut-semut jantan bertanggungjawab membolehkan ratu semut melahirkan semut-semut baru. Kalau di istana manusia ada dayang dan mak inang, ratu semut juga ada semut-semut pekerja yang terdiri daripada semut-semut betina yang mandul, untuk menjaga, melayan ratu dan mengasuh anak-anak semut yang baru dilahirkan. Mereka juga bertugas membersihkan sarang dan membina koridor baru dalam sarang.
Askar-askar semut pula bertanggungjawab memelihara keselamatan keluarga semut, mencari sarang baru dan memburu. Terdapat juga kumpulan semut pengawal yang mengawal di setiap pintu masuk sarang. Selain kumpulan-kumpulan ini, terdapat kumpulan semut yang bertugas sebagai penternak, peladang, arkitek, jurubina dan sebagainya.
Struktur sarang semut
Sarang semut sangat besar berbanding dengan saiz semut. Sarang dibina dengan mengambil kira faktor keselesaan berjuta-juta semut di dalamnya untuk bekerja dengan mudah. Jadi boleh bayangkan tak betapa besar dan rumitnya kalau kita (manusia) nak bina sarang macam tu?
Ada ruang yang memerlukan sistem pencahayaan yang banyak, jadi kena bina di bahagian atas sarang. Ada ruang yang perlu dihadkan cahaya matahari, jadi perlu dibina di bahagian bawah sarang. Ada ruang yang memerlukan semut berhubung dengan kerap antara semut-semut dalam ruang-ruang ini, jadi ruang-ruang ini dibina berdekatan. Ruang stor yang menyimpan bahan-bahan lebihan dibina berasingan di satu bahagian bangunan khas. Bilik-bilik yang menyimpan makanan, dibina di tempat yang mudah dicapai. Dekat tengah-tengah sarang perlu dibina dewan perhimpunan, bukan untuk semut-semut buat ceramah politik, tapi untuk berkumpul pada waktu-waktu tertentu.
Lepas tu, dalam keadaan sarang yang sangat besar dan kompleks ni, suhu di kesemua bahagian adalah sama. Subhanallah! Mantapnya sistem pengudaraan di dalam sarang semut ni hinggakan mereka boleh kekalkan suhu dalam sarang dan tidak terpengaruh dengan cuaca di luar sama ada panas ataupun sejuk. Hebat kan?
Sistem perladangan semut
Semut yang terlibat dengan perladangan disebut attas. Pernah tengok kadang-kadang ada semut yang bawak pecahan-pecahan daun atau bunga atas kepala dia? İtulah attas!
Mula-mula, attas akan bina lebuhraya antara sarang semut dengan tempat mereka bekerja (mendapatkan sumber pecahan-pecahan daun). Attas akan kutip dan buang semua ranting-ranting, batu kecil, rumput dan sebagainya yang menghalang laluan mereka sampai ke sarang. Maka terjadilah satu lebuh raya kecil yang tak perlukan badan-badan tertentu untuk bina (dan semestinya tidak ada isu penggunaan simen dan tar tak berkualiti, jambatan runtuh, korupsi dan sebagainya).
Bila lebuhraya dah siap, attas ni pun bersedia untuk bekerja. Mereka akan bawa pecahan-pecahan atau kepingan-kepingan daun atas kepala dan dikepit menggunakan rahang mereka. Namun ada satu masalah!
Semut menggunakan rahang untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh. Tapi bila attas dah gunakan rahang mereka untuk bawa daun, macam mana mereka nak pertahankan diri? Attas pula bekerja jauh dari sarang untuk mengutip daun-daun ni, jadi risiko mereka diserang sangat tinggi. Maka, attas ni akan ditemani semut-semut pekerja yang lebih kecil. Semut pekerja ni akan panjat atas daun yang dibawa oleh attas, dan memerhati keadaan sekeliling. Kalau ada serangan, mereka akan bertindak mempertahankan attas walaupun saiz mereka lebih kecil. Hebatkan semut, boleh capai tahap tertinggi dalam ukhuwwah, mengorbankan diri sendiri demi saudaranya, ithar!
Agak-agak pecahan-pecahan daun ni nak guna untuk apa? Pecahan-pecahan daun ni guna sebagai tapak semaian untuk semut-semut menanam kulat. Bila attas dah bawak balik daun-daun ni ke sarang, semut-semut pekerja akan kunyah daun-daun ni dan simpan dalam ruang khas. Kulat akan tumbuh atas daun, dan semut-semut akan memperoleh makanan dari pucuk kulat yang tumbuh tu.
Kesimpulan
Mari kita renungkan betapa hebatnya sistem kehidupan semut. Bagaimana agaknya kalau semut-semut tak patuh pada pembahagian tugas masing-masing? Kalau attas malas buat kerja atau buat korupsi dalam kerja? Kalau ada semut-semut berebut nak dapat kuasa? Kalau remaja-remaja semut malas nak buat kerja, rasa bosan dan kata “takde life la, hari-hari nak cari daun je!”?
Boleh tak berjuta-juta semut hidup dalam satu rumah dengan harmoni?
Kemudian, mari kita renungkan, manusia nak bina satu bangunan besar, dengan segala struktur yang rumit, sistem pengudaraan yang mengekalkan suhu tetap di semua kawasan, susah tak? Berapa banyak buku kita kena baca? Berapa banyak hukum sains kita perlu faham? Tapi semut boleh buat, automatik tanpa perlu dapat ijazah mana-mana universiti.
Siapa yang ajar semut-semut ni?
Siapa yang beritahu pada semut bila dia lahir-lahir, “kau jadi semut pekerja, kau jadi semut peladang….”?
Siapa yang mengatur kehidupan semut sampai berjuta-juta semut boleh hidup harmoni dalam satu sarang?
Siapa kalau bukan Tuhan? Kalau bukan Allah yang mengaturnya, siapa?
Semoga kita insaf dengan kepatuhan semut menuruti apa yang telah diatur oleh Allah dan bekerja mengikut tugas yang telah Allah tetapkan. Sedangkan ia hanya seekot semut kecil, yang tidak Allah muliakan dengan akal, dan tidak pula Allah muliakan dengan menyuruh semua malaikat sujud padanya!
Related posts:
Categories: Azzariyat, Sains dan Islam



Comments (2)
cikmut
September 8th, 2010 at 7:37 am
subhanallah!
sangat menarik life semut2 ni
Siapa yang ajar semut-semut ni?
Siapa yang beritahu pada semut bila dia lahir-lahir, “kau jadi semut pekerja, kau jadi semut peladang….”?
Siapa yang mengatur kehidupan semut sampai berjuta-juta semut boleh hidup harmoni dalam satu sarang?
Siapa kalau bukan Tuhan? Kalau bukan Allah yang mengaturnya, siapa?
REBUNG-RENUNGKAN!
Cerah Jeff
September 8th, 2010 at 4:42 pm
subhanallah,dulu just tahu je semut ni power tapi bila baca tentang attas tu,rasa macam terkejut.
Patutlah ada surah semut..
Patutlah ada penulis nama cik mut,hebat rupanya semut ni =D
Leave a reply