Aku Naik Saksi….
“ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Kalimah syahadah yang kita ungkap saban hari. Paling kurang, sembilan kali sehari dalam solat lima waktu kita. Namun, seringkali ia jadi satu lafaz dibibir semata-mata sedangkan kalimah ini adalah kunci ke syurga.
“ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah.”
Ia bukan hanya satu lafaz biasa. Ia bukan sahaja membawa maksud Tuhan kita adalah Allah, malah ia membawa maksud tidak ada Tuhan selain Allah. Tidak ada yang lain selain Allah s.w.t. Kita mengaku tidak ada Ilah lain selain Allah s.w.t. Bilamana kita mengaku Allah s.w.t Ilah kita, maka tidak ada yang lain layak ditujukan pengabdian diri kita ini melainkan Allah s.w.t. Makanya, rasa takut, cinta, rindu dan harap kita hanya untuk Allah s.w.t.
Jika selama ini kita terlalu takut dengan peperiksaan, kita silap! Kadang-kadang perkara ini menjerat kita. Sememangnya sebagai manusia kita diberi rasa takut menghadapi sesuatu yang kita rasa sukar. Takut menghadapi peperiksaan kerana bimbang soalannya sukar, ia nampak ringan tapi kadang-kadang ia mengundang satu rasa takut yang berlebihan sehingga membuat kita lupa yang kita sentiasa ada Allah s.w.t yang Maha Penolong. Jika selama ini kita takut dengan hantu, kita silap! Kadang-kadang ini juga menjerat kita. Kita terlalu takut dengan gangguan syaitan sehingga kadang kala kita lupa bahawa gangguan-gangguan begitu juga tidak akan berlaku tanpa izin Allah s.w.t. Jadi, takutlah hanya pada Allah s.w.t. Takutlah pada azab-azab yang Allah janjikan kepada hamba-hambaNya yang mengingkari perintah Allah s.w.t.
Jika selama ini, jika ada apa-apa masalah dan kita segera meminta pertolongan dengan manusia, kita silap! Mohonlah pertolongan dari Allah s.w.t pertama-tamanya. Tetapi ia bukan bermakna kita tidak perlu berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Jika hati kita gundah, kita mudah mencari cara lain untuk tenang sedangkan penawar kegundahan hati adalah dengan solat sunat dua rakaat. Sesungguhnya apa sahaja masalah yang kita hadapi di dunia ini akan dihadapi dengan tenang dan seyuman seandainya kita kembali mengingati Allah s.w.t.
Jika selama ini kita terlebih cinta pula pada dunia, kita silap! Cinta ada dunia ini bagaimana? Cinta pada dunia ini adalah apabila kita rasa ‘sayang dan ‘sukar’ nak tinggalkan sesuatu yang tidak menambahkan iman. Ketika menonton drama Korea dan kita dengan bunyi azan berkumandang, kita lebih memilih untuk menghabiskan dulu cerita yang ditonton.
“ Ala.. takpe lah! Lima minit lagi nak habis ni.”
Sedangkan azan itu tandanya kita sedang dipanggil mengadap Allah s.w.t. Jika cerita Korea lebih penting daripada solat, mana pelaksanaan kita sebagai hamba kepada Rabb kita? Rabb kita mesti diutamakan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Jika selama ini kita terlebih rindu pada manusia, kita silap! Jadi kalau rindu kepada ibu bapa dan keluarga tu salah la? Tidak, tidak salah malah Islam menggalakkan kita menyanyangi mereka. Namun seringkali kita keliru antara kasih sayang kepada keluarga dan kasih sayang kita kepada Allah, kepada agama Allah. Kadang-kala kita menjadikan kasih sayang kepada keluarga sebagai halangan untuk berjuang ke jalan Allah s.w.t.
Kisah As-Syahid Hasan al Banna
Ketika itu hari raya. Imam Hasan al Banna mahu keluar berdakwah ke masjid memandangkan ketika hari raya ramai orang berkumpul di masjid. Namun isterinya meminta beliau berada di rumah kerana anak mereka sakit, lalu beliau membacakan ayat ini kepada isteri beliau.
“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Dan barangsiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” [ Al- Munafiqun : 9]
Subhanallah! Seorang pejuang Islam yang diberi kekuatan mencintai Allah s.w.t melebihi segala-galanya. Beliau contoh pendakwah yang tidak mengenal penat memperjuangkan agama Allah s.w.t.
“ Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Kita juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w pesuruh Allah s.w.t. Maka haruslah kita melaksanakan penyaksian itu dengan mengikut apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w diutuskan ke muka bumi ini untuk menyampaikan kebenaran. Kerana itulah al-Quran dan sunnah Nabi itu harus kita jadikan sebagai panduan hidup kita.
“ Katakanlah( Muhammad), “ Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang,” [ Ali-Imran : 31]
Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu tanda cinta kita kepada Allah s.w.t. Namun adakah benar cinta kita pada insan agung ini tanpa mengamalkan sunnah-sunnah baginda? Layakkan dipanggil cinta jika dalam sehari sedikit sekali kita selawat kepada baginda.
Ya Allah, jika selama ini kami terlebih cinta pada dunia, ampuni kami Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah yang mengaugerahkan cinta dan Engkau jua yang paling layak menerima cinta kami. Ya Allah sekiranya rindu kami selama ini kepada manusia, ampuni kami Ya Allah. Sesungguhnya Engkau jua yang paling layak kami rindui. Ya Ilahi, jika selama ini kami terlalu yakin dan harap pada manusia, ampuni kami Ya Allah kerana hanya Engkau yang paling layak kami berharap. Ya Rabbi, seandainya takut kami selama ini pada isi dunia, ampuni kami Ya Allah, hanya Engkau yang harus kami takuti. Engkau Pemilik jiwa dan nafas kami Ya Allah. Ya Allah berilah kami hati yang bergetar saat menyebut nama Mu.
Semoga kita menjadi muslim yang hatinya tersentuh dengan lafaz syahadah ini dan semoga kita benar-benar diberi kekuatan untuk menjadi pelaksana kepada penyaksian kita.





