Ilmuan Bervisi Akhirat vs Penari Kelab Malam
Sebagai rakyat Malaysia, saya akui kadang kala saya terlepas pandang tentang apa yang sedang berlaku di Malaysia. Ketika membuat persediaan belajar di Malaysia, jarang sekali saya mengambil tahu isu-isu negara dek kerana hari-hari yang dilalui terasa sangat padat dengan jadual belajar dan aktiviti-aktiviti lain. Namun, beberapa bulan di negara matahari terbit ini sedikit sebanyak membuka mata saya melihat apa yang sedang berlaku di negara kelahiran saya itu. Tidak dinafikan, pelbagai isu tenggelam timbul dibicarakan di dada-dada akhbar. Malah kelihatan seperti lebih banyak berita kontroversi berbanding cerita-cerita yang sedap di dengar. Hati mula bertanya, apakah yang sedang berlaku di negara saya sebenarnya? Usah bimbang, artikel ini bukanlah satu artikel yang mahu mengkritik kepimpinan pemimpin-pemimpin Malaysia, jauh sekali mencari silap sesiapa.
Mungkin saya antara orang-orang yang lambat mengetahui isu berkenaan cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat hiburan malam bagi memacu industri perlancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi ( ETP). Bagi yang masih belum tahu, boleh klik disini. Isu ini begitu hangat dibincangan dalam halaqah usrah minggu lalu. Pelbagai pendapat dapat di dengar dan yang pastinya, semua membantah keras ‘usaha’ kerajaan memacu industri pelancongan itu. Namun hati menjadi gundah saat rakan saya khabarkan yang ada juga remaja-remaja Malaysia menyokong ‘usaha’ kerajaan itu, malah mereka lantang menyuarakan pendapat mereka di facebook. Mengapa saya gundah?
Apabila membaca berita tentang usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pusat hiburan malam, kami di negara matahari terbit ini terasa membara-bara di jiwa, marah dan kesal dengan keputusan pemimpin yang disegani selama ini. Entah mengapa, berada di bumi sakura ini membuat diri begitu hendak menghargai nikmat iman dan islam yang dianugerahkan Allah s.w.t. Mungkin kerana disini, suasana islam itu sukar untuk dirasai. Bayangkan apabila ke kelas, kami yang bertudung ini dipandang berkali-kali seolah-olah mereka melihat makhluk asing, tetapi di Malaysia ia langsung tidak pelik kerana rata-rata wanita di Malaysia mengenakan tudung. Bayangkan apabila membeli keperluan di pusat membeli belah, fitting room menjadi tempat menunaikan solat, tetapi tidak di Malaysia. Surau ada di mana-mana, lengkap dengan tempat berwuduk dan sejadah di tempat solat. Mungkin kerana masjid-masjid masih teguh di bumi Malaysia, mungkin kerana suasana di Malaysia masih dilihat aman pada dasarnya, masing-masing mungkin lepas tangan tentang tuntutan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’.
Usaha menambah bilangan pusat hiburan di Malaysia ini sememangnya satu ‘usaha’ yang seolah-olah menjatuhkan martabat sebuah negara Islam. Dalam banyak-banyak pilihan meningkatkan ekonomi negara, mengapa hiburan dilihat sebagai yang terbaik memacu ekonomi negara? Seperti tidak boleh dipertimbangkan lagi, hiburan ini pasti dan sangat pasti lebih menghancurkan akhlak seorang muslim. Pendapat peribadi saya masih tegas merasakan perkara yang paling penting menjamin kejayaan sesebuah negara adalah ilmu.
Kerana dengan adanya ilmu, maka terlahir insan-insan yang mampu berfikir secara waras dalam mempertimbangkan baik buruk sesuatu keputusan.
Kerana dengan adanya ilmu, segala keputusan dapat diputuskan bukan hanya dengan memandang dunia, malah lebih memandang kejayaan akhirat.
Jadi sangatlah wajar wang jutaan ringgit yang akan digunakan untuk membina pusat-pusat hiburan itu dilaburkan untuk anak-anak muda menuntut ilmu agar semakin bertambah bilangan ilmuan-ilmuan di negara itu. Luluhnya hati andai di Malaysia nanti, anak-anak muda menghidupkan malam mereka di pusat hiburan sedangkan di zaman Rasulullah s.a.w, pahlawan-pahlawan mudanya hidup dengan solat-sola tahajud d malam hari. Luluhnya hati apabila semakin banyak pusat hiburan dibina, pastinya semakin ramai yang berani meneguk arak, berani berzina dan pastinya semakin ramai bayi-bayi luar nikah dilahirkan. Bukankah ini satu tanda kehancuran akhlak dan nilai-nilai islam? Sanggup pula pemimpin kita menggadaikan akhlak dan nilai islam ini demi peningkatan ekonomi negara tanpa mengambil peduli soal barakahnya. Ya Allah semoga mereka diberi kesedaran tentang tipu daya dunia ini.
Salah siapa semua ini? Tidak perlu kita tanya siapa bersalah kerana ini tugas bagi yang punya kesedaran.Mengapa ketika cadangan menjadikan Malaysia sebagai hab pusat hiburan malam ini dikemukakan, semua orang seperti diam tak berbicara. Saya tidak nafi, rata-rata rakyat Malaysia yang beragama islam membantah keras cadangan ETP ini, namun semuanya tidak berani tampil ke hadapan. Tidak perlu membuat bantahan dengan berkumpul dan menjerit-jerit menyuarakan bantahan. Kita mula dari akar umbi. Akar umbinya adalah diri kita. Diri kita yang perlu lebih serius memandang bahawa hanya dengan ilmu dan agama, segala masalah ini mampu kita selesaikan dengan izin Allah s.w.t. Kita yang punya kesedaran ini perlu membawa diri kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, guru kita, masyarakat kita untuk kembali menghayati fitrah kehidupan sebagai muslim. Muslim yang bukan hanya pada nama. Muslim yang jiwanya cinta pada agama Allah s.w.t, muslim yang berkasih sayang kerana Allah s.w.t, muslim yang mahu saudara seagamanya masuk syurga dengan mereka, muslim yang bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang berlaku di sekeliling.
Kita yang perlu mula. Kita yang perlu mula. Kita yang perlu mula.
” Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ” Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim ( yang berserah diri)? ” [ Surah Fussilat : 33 ]
Kita tidak cukup baik?
Itu bukan persoalan kerana dakwah ini tidak menunggu sempurna. Kita yang perlu berusaha membentuk masyarakat yang mencintai islam melebihi segala-galanya, supaya apabila ada cadangan membina pusat hiburan di negara kita, semua orang bangkit menegakkan kebenaran islam, semua orang bangkit memusnahkan kemungkaran yang sedang dicipta ole insan-insan yang mementingkan diri sendiri sebenarnya. Wahai sahabat, mari kita sama-sama menyampaikan ilmu yang baik antara satu sama lain. Wahai sahabat, mari kita tarbiyyah orang-orang di sekeliling kita untuk kembali memandang akhirat sebagai kehidupan yang kekal.
Andai ditakdirkan Allah s.w.t berlaku perkara yang tidak diduga suatu hari nanti, apakah kita mengharap anak-anak muda yang sedang khayal menari di pusat hiburan itu menjadi ‘hero’ menyelamatkan negara? Tidak mungkin yang sedang khayal menari itu mampu bertindak waras dalam menyelamatkan negara kita. Fikir-fikirkan, negara memerlukan para ilmuan yang bervisi kepada akhirat, bukan para penari kelab malam! Malaysia memerlukan anak-anak muda yang bakal memimpin negara dengan ilmu,bukan anak-anak muda yang terlompat menjerit-jerit menyokong konsert-konsert artis barat! Semoga Malaysia terhindar dari orang- orang yang melampaui batas.
” Maka tetaplah engkau( Muhammad) ( dijalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” [ Surah Hud : 112]






Assalamualaikum …sya setuju dgn saudari, sya pun x tau isu negara yang berlaku skrang walaupun sya berada di dalam negara ini…sebenarnya bukan saja isu negara malah pelajar atau penuntut institut juga berani utk menentang pertubuhan islam…bayangkan pertubuhan puteri islam di institut adalah sebagai persatuan dan lambang agama islam namun anak muda sekarang menentang keras pertubuhan ini serta mengesyorkan kepada pihak terbabit untuk memansuhkan pertubuhan puteri islam di institut..so di manakah buktinya serta bagaimana kita orang islam menyebarkan dakwah islam di kalangan pelajar institut…
pelik kan msia? subsidi utk pendidikkan dan kesihatan dikurangkan tapi hiburan melebih-lebih pulak. Ada doktor penah mengadu, dorg tak dapat bagi layanan yang b agus untuk pesakit, tak dapat bagi ubat yang terbaik sebab ubat mahal and hospital tak mampu nak tanggung. So, kalau patient tu nak kena beli ubt sendiri. Sekarang ni macam takde beza hospital swasta dengan hospital goverment.
bagus artikel ni.kalau la pemimpin negara kita bce azzariyat.mungkin blh ubah c kit cre mereka berfikir.
Assalamualaikum.. Saya baru sahaja terbaca artikel ni.. Saya bersetuju 100% pendapat penulis..