Hari Raya Haji: The Saddest Story Ever
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua pembaca Azzariyat,semoga Allah memberkati hari-hari yang kita telah lalui,sedang lalui dan akan lalui. Semua orang sudah tahu akan sejarah Hari Raya Aidil Adha,bagaimana perayaan ini diadakan bagi mengingati pengorbanan agung nabi Allah Ibrahim yang melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya tapi kali ini saya ingin menceritakan balik sejarah ini berdasarkan ayat Al-Quran.Ringkas,padat dan sememangnya tepat,tiada unsur Israiliyat atau penambahan oleh penglipur lara.Surah As-Syaaffaat 101 – 111:
- Maka Kami beri dia kabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar 1284. (QS. 37:101)
- Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (QS. 37:102)
- Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). (QS. 37:103)
- Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, (QS. 37:104)
- sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu 1285“, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (QS. 37:105)
- Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. (QS. 37:106)
- Dan Kami tebus anak itu dengan dengan seekor sembelihan yang besar 1286. (QS. 37:107)
- Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (QS. 37:108)
- (yaitu)”Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”, (QS. 37:109)
- Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (QS. 37:110)
- Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. (QS. 37:111)
Jom kita hayati terjemahan ayat-ayat di atas. Allah memulakan kisah ini dengan memberi khabar gembira kepada Nabi Ibrahim dan isteri-isterinya setelah sekian lama baginda dan Siti Sarah berhajatkan seorang anak sehingga Siti Sarah sanggup mengizinkan baginda berkahwin dengan Siti Hajar iaitu hamba yang dihadiahkan kepada mereka oleh Raja Mesir.Tempoh masa baginda dan Siti Sarah tidak mendapat anak berlaku beberapa khilaf(percanggahan Ulama’) tetapi bila difikirkan secara logik,apabila seorang isteri sanggup menduakan dirinya,bermakna isteri itu sudah terdesak setelah sekian lama bersabar. Apatah lagi bila yang ingin diduanya itu adalah hambanya sendiri. Bermakna,tempoh baginda dan Siti Sarah berhajat seorang anak itu satu tempoh yang sangat lama.
Selepas Nabi Ismail lahir ke dunia dan sampai pada umur yang sesuai,Allah mengarahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih Nabi Ismail,anak sulung baginda. Anak yang mereka dapat setelah berusaha dalam satu tempoh masa yang lama,anak yang mereka sangat kasihi,anak yang mereka dapat setelah Siti Sarah sanggup menduakan dirinya sendiri. Tambahan pula,Nabi Ibrahim tidak pasti samada yang hadir dalam mimpinya itu adalah wahyu dari Allah atau mainan dari syaitan.
Cuba bayangkan,anda bakal melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam program Twinning Programme,3 tahun di Malaysia dan 2 tahun di Jepun. Program itu sungguh menyiksakan,setiap hari anda harus hafal lebih kurang 50 tulisan kanji Jepun, ada kuiz tatabahasa Jepun dan ada kuiz subjek sains,samada fizik,kimia atau matematik yang mengikut silibus Jepun yang pastinya dalam 30 orang,hanya 2 orang mampu dapat 10 markah dari 30 markah. Tapi anda berjaya ke tahun 3 dan bulan depan anda akan terbang ke Jepun. Namun sehari sebelum anda ingin datang ke Jepun,anda dapat mesej dari seseorang yang anda tidak pernah berjumpa dengannya mengarahkan anda jangan datang ke airport esok. Agak-agak anda,anda pergi ke tak ke airport esok?
Kalau saya,saya tetap pergi ke KLIA. Mana taknya,sudahlah 3 tahun bermati-matian belajar,setiap bulan dalam 36 bulan itu hati berdebar ‘kena kick tak aq ni…’,kemudian dapat mesej supaya jangan pergi ke KLIA,penghantar mesej itu sendiri kita tidak pernah berjumpa,tengok-tengok pedengki yang ingin kenakan kita. Ya la,Melayu kan suka potong rezeki Melayu
Itulah perasaan Nabi Ibrahim bahkan lebih sebab yang ingin disembelih itu anaknya sendiri. Sudahlah konflik dalaman seorang ayah,kemudian perasaan takut menyembelih manusia itu pula harus dilawannya. Bukan senang nak bunuh manusia hatta menggunakan pistol sekalipun,memang nampak mudah dalam Youtube tapi hakikatnya,bila kita yang tidak pernah bunuh manusia tiba-tiba disuruh melakukannya,pengsan kita.Itu baru pistol,yang tarik,tekan dan dia terus mati dari jauh,ini pula sembelih. Mesti dekat dan pasti,darah akan memancut keluar membasahi muka yang menyembelih. Ngeri kalau dibayangkan.
Sebelah Nabi Ismail pula,sudahlah baru sahaja hidup,kalau kita remaja selalu sebut,”kahwin pun belum lagi,”mahu disembelih pula.Tambah lagi,Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail baru sahaja berjumpa setelah mereka berpisah sekian lama. Apakah jenis ujian kali ini. Bayangkan,anda dan ayah anda berpisah dari anda kecil lagi. Setelah anda berumur 8 tahun,ayah anda balik rumah,tinggal tak sampai setahun,ayah anda datang kepada anda dan berkata,”ayah bermimpi semalam dan dalam mimpi tersebut,ayah disuruh menyembelih adik,adik rasa bagaimana?” Apa perasaan dan jawapan anda?
Tapi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akur dengan perintah Allah. Mereka laksanakan juga perintah itu walaupun jauh di sudut hati mereka berdua tidak ingin lakukannya. Nabi Ibrahim korbankan Nabi Ismail kerana Allah dan mereka telah membenarkan mimpi tersebut,wahyu tersebut. Sebagai hadiah,Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor qibas dan Allah abdikan kisah yang indah ini sepanjang zaman.
Wahai teman,cuba duduk berfikir sebentar,baca berulang kali ayat-ayat di atas. Bayangkan perasaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika itu. Bagaimana mereka rasa,apa yang mereka fikir dan betapa perit dan sedihnya hati mereka. Kalau anda kata filem hindustan itu sedih,filem nurkasih itu sedih,bagi saya,tiada ‘filem’ yang lagi sedih dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail ini.Moga mereka dan kita sentiasa dirahmati Allah hingga ke akhirnya.
Satu inisiatif Persatuan Islam Iran untuk mengingat Nabi Ibrahim





