16 September 2011 1 Komen

Jangan Kerana Kita Tidak Tahu

Saya adalah manusia yang suka berfikir logik. Dalam hidup ini mesti ada sebab dan akibat,itu yang saya percaya dan sesuatu yang tiada sebab dan akibat,amat sukar untuk saya percaya. Jadi dalam saya mempelajari Islam, banyak benda yang agak tidak pasti tetapi saya diam dan saya yakinkan diri saya bahawa benda itu benar-benar wujud cuma akal saya gagal mencapainya.

Saya teruskan hidup seperti biasa dengan gaya yang biasa(rasional),saya jumpa ramai orang dan saya jumpa golongan seperti saya. Cuma mereka lebih radikal,mereka betul-betul rasionalis sedangkan saya cuba melawan perasaan rasionalis itu kerna saya yakin,agama bukanlah sesuatu yang dicipta oleh akal Rasulullah,jadi kadang-kadang,sesuatu itu gagal dicapai akal tetapi mereka ini hanya menerima apa yang logik dan tolak apa yang tidak logik.

Salah seorang daripada golongan ini pernah mempersoalkan kalau Allah ciptakan bidadari untuk lelaki kenapa Allah tidak ciptakan sejenis bidadari untuk perempuan? Cuba carikan satu ayat di dalam Quran yang membuktikan benda itu benar-benar wujud? Bukankah itu tandanya Allah tidak adil?

Juga ada yang mempersoalkan golongan Gay atau minat kaum sejenis. Kalau Allah mengharamkan hubungan sejenis tetapi kenapa Allah ciptakan mereka? Sebagai Ujian? Tak mungkin. Ada benda boleh difikirkan sebagai ujian dan ada benda tidak dan Gay bukanlah perkara yang boleh dianggap sebagai ujian,ini namanya troll,yup,Tuhan troll manusia.

Dan banyak lagi perkara yang dipersoalkan,walaupun saya seorang yang agak berfikiran logik tetapi saya tidak ingin  mempersoalkan kejadian yang dicipta Allah,perkara yang dijanjikan Allah sebab saya tahu segala yang diciptakan ada hikmahnya walaupun saya tak mampu memikirkannya. Tapi percayalah,golongan ini tidak akan murtad secara terang-terangan sebab mereka tahu,dalam banyak agama di atas muka bumi ini,Islam lah yang paling kurang kelemahannya(sebenarnya tiada tapi berdasarkan pemikiran mereka).

Apabila selalu membaca persoalan mereka,jujurnya saya pun turut pening bersama mereka. Akhirnya saya buat keputusan meninggalkan golongan ini,biarlah mereka dengan pemikiran mereka. Cuma saya terus berfikir kenapa Allah jadikan banyak benda yang saya tidak dapat gapai,kalau betul Islam itu senang tetapi kenapa terlampau banyak persoalan?

Lama saya berfikir dan ada sesetengah soalan saya tanya ustaz seperti soal syurga dan neraka tetapi kebanyakan soalan saya diakhiri dengan Allah lebih mengetahuinya. Memang betul Allah lebih mengetahuinya dan itulah jawapan yang paling tepat cuma saya musykil,orang yang belajar agama lama-lama akhirnya memberi jawapan yang sangat ringkas tanpa penerangan? Sungguh agama itu sesuatu yang rumit.

Saya teringat satu kisah di dalam Al-Quran,dalam surah Al-Kahfi,diceritakan nabi Musa mencari ilmu dan berjumpa dengan nabi Khidir tetapi setelah 3 perkara berlalu,nabi Musa sendiri tidak dapat menahan logiknya,akal seorang nabi pun gagal mencari logik masakan saya yang penuh dengan dosa ini berjaya? (rujuk Al-Kahfi 60-82)

Dan saya terfikir,kalau Allah jadikan hal agama itu segalanya mampu dicapai oleh akal,bukankah itu satu kelemahan bagi Dia? Kalau hal agama mampu disentuh oleh akal,bukankah itu juga akan menampakkan Islam itu dari Muhammad? Ya, dari seorang manusia yang sangat genius. Tak dinafikan nabi Muhammad adalah orang yang paling genius tapi saya pasti, seginius mana pun manusia itu,untuk menceritakan sesuatu sejarah lampau yang tidak berlaku di zamannya dan sesuatu yang bakal berlaku,itu adalah mustahil melainkan ada orang menceritakan kepadanya.

Siapa?

Sesuatu yang lagi hebat daripada manusia serta jin,siapa? Tuhan manusia,jin dan yang lain-lain. Jadi selepas berfikir dan merenung agama itu sendiri,konklusi yang saya dapat,dalam agama sesuatu yang gagal dicapai oleh akal bukanlah satu kelemahan tetapi satu kehebatan,satu bukti yang lagi kukuh bahawa Islam itu daripada Allah,bukan ciptaan manusia. Apa yang kita kena sedar,kalau akal nabi Musa yang hebat itupun gagal mencapai agama inikan pula kita manusia yang hari-hari bergelumang dengan dosa.

Dan,jangan kerana ketidak tahuan kita tentang satu perkara itu menjadikan kita manusia yang tolak agama. Konsepnya mudah,kalau tidak tahu tanyalah orang yang tahu,usah dicipta seribu satu alasan,usah dibuat sejuta jawapan kerana jawapan orang tidak tahu bukanlah apa-apa melainkan sampah semata-mata. Belajarlah,kerana itulah seruan pertama kepada semua manusia,bukan Islam sahaja tetapi semua agama.

Ingat,jangan kerana kecetekan ilmu kita menampakkan lagi kecetekan akal kita,sama-sama kita renungkan.

One Response to “Jangan Kerana Kita Tidak Tahu”

  1. IslamicPanentheist 15 January 2012 at 12:00 am #

    Mengenai hal bidadari, kita tidak boleh menanya dengan logik kerana ia berada di luar horizon manusia. Seperti syurga dan neraka. Mengenai Homoseksuals, boleh ada berbagai pandangan. Saya sendiri pun tidak pasti mengapa golongan Homoseksuals wujud. Menyoal menangapakah Allah mencipta Gay kalau haram adalah seperti menyoal kenapa ada pembunuhan kalau ia buruk. Tapi agaknyalah, mungkin kerana manusia ini tidak sempurna, maka perbuatan-perbuatannya boleh menjadi baik atau buruk. Allah memberi kebebasan untuk membuat apa sahaja asalkan tidak buruk, bukannya Allah berniat untuk membuat golongan-golongan tersebut. Mengenai hal agama boleh dicapai dengan akal, kebanyakannya ya, seperti ajaran tingkahlaku, tapi perkara-perkara metafizikal seperti syurga, neraka dan sebagainya tidak boleh dicapai akal.


Leave a Reply