Surat Akhir untuk Adik

Bismillahi walhamdulillah..
Segala puji-pujian hanya dan selamanya untuk Allah yang Maha pemurah lagi maha penyayang, yang tiada lain ku dambakan dari-Nya melainkan keredhaan-Nya terhadap diriku dan juga kalian..
Adik-adik yang disayangi Allah sekalian..
Bagaimana liku-liku kehidupan kalian? Baik? Alhamdulillah diriku juga begitu, baik..
Cita-cita kalian bagaimana? Berjaya? Alhamdulillah, ku tumpang gembira kerana kegembiraan kalian kegembiraanku juga..
Namun,
Sekian lama kita tidak bertemu mata..
Apatah lagi berkongsi cerita..
Jauh untuk bersenandung gembira..
Dan juga bergelak ketawa..
Aku rindu..
Aku amat merindui kalian..
Subhanallah, indahnya ukhuwah kerana-Mu ya Allah..!
Adik-adik sekalian..
Ingin sekali ku melanjutkan kalam..
Dengarkanlah mutiara bicaraku ini..
Mungkin, ianya yang terakhir..
Dan kemudian..
Tiada lagi selepas ini…
Adik-adik ku..
Jadilah kalian orang-orang yang mempunyai matlamat dalam kehidupan ini. Carilah ia jika tidak diketemui lagi.. Kerana hidup ini, tidak Dia jadikan sia-sia.. Masakan Dia tidak tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.. Bahkan Dialah yang Maha Mengetahui !
Jadilah kalian orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah, yang masuk ke dalam Islam sepenuh jiwa ragamu tanpa ada rasa ragu-ragu.. Bahkan kamu tidak mempersoalkan kelebihan yang Allah kurniakan buat insan-insan yang berada di sekelilingmu berbanding dengan kekurangan yang ada pada dirimu.. Kerana ku yakin dirimu tahu.. Allah itu Maha Baik terhadap sekalian hamba-Nya.. Tidak akan Dia zalimi barang seorangpun daripada mereka.. Termasuklah dirimu, adik-adik ku..
Adik-adik ku sayang..
Benarkah tiada sahabat yang dapat bersamamu selamanya?.. TIADA? Benarkah? Tidak!! Sama sekali tidak.. Ketahuilah oleh mu.. Masih ada.. Namun, SIAPAKAH? Dialah sahabat yang SERING kamu LUPAKAN, sahabat-sahabat yang KADANG-KADANG KAMU ABAIKAN.. Tahukah kamu siapakah dia, adik-adik ku yang tercinta? AMAL SOLEHMU, adik-adik ku.. Amal solehmu yang akan menemanimu… Yang akan memandumu di dunia dan di akhirat sana.. Maka cubalah.. Cubalah adik-adik ku jadikan ia sahabatmu di setiap waktu dan ketika, agar kalian tidak sunyi di sini dan di sana.. Ingatlah firman Allah:
“Hai Rasul-Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Al-Mukminun: 51
Adik-adik ku yang terakhir ingin sekali ku nyatakan..
Jagalah hatimu sedaya mu, kerana setitik dosa yang terpalit akan memberikan tompokan hitam pada hatimu.. Maka, pesanku iringilah dosa itu dengan istighfarmu pada-Nya.. Agar terhapus dosamu sebersihnya, seperti bersihnya pesisir pantai setelah air laut membasahinya.. Tiada lagi kesan goresan kelihatan pada gigi pasirnya..
Adik-adik ku..
Dari kejauhan ku kirimkan doa buat kalian semua agar kita terus istiqamah pada jalan-Nya, moga Dia sudi menunjukkan kita jalan-Nya walau amalan kita tidak seberapa pada-Nya… Moga Dia membantu kita untuk menjadi muslim yang MUKMIN yang dapat menegakkan ISLAM di dalam hati kita agar suatu hari nanti ISLAM akan tertegak dibumi bertuah kita, Malaysia..
Adik-adik ku..
Dari katil ini ku gagahkan diriku untuk menulis buat kalian.. Kerana, ku merasakan masa ku kian hampir tiba, jiwa ku terasa tenang.. Tenang-setenangnya untuk menerima keadaan ini seadanya.. Tenang kerana Dia Kekasihku ingin menjemputku untuk pulang ke rahmat kasih saying-Nya… Kalam akhir ini ku titipkan buat kalian yang kucintai kerana-Nya agar ukhuwah kita akan kekal selamanya dalam dakapan kasih Ilahi yang tercinta..
insyaAllah..
Akhiru kalam..
Wasalamullahi ‘alaikum warahmatullahi wabarokatuh..
Dari diriku hamba-NYA yg fakir..
karya syamimi ahmad





