1 October 2011 0 Komen

Hanya perlu memilih

 

Apakah yang benar-benar kita miliki? Adakah bakat dan keupayaan yang kita bertungkus-lumus mencungkilnya? Atau adakah aset harta, kereta mewah, rumah agam yang kita bermandi keringat mendapatkannya? Ketahuilah bahawa segala yang kita ‘rasa’ itu milik kita, hakikatnya semua itu adalah pinjaman dari Allah. Hanya satu sahaja pemberian mutlak yang Allah berikan kepada umat manusia, dan sememangnya itu satu-satunya milik kita, yakni keupayaan untuk memilih.

Allah berfirman,

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  (2:256)

Allah tidak memaksa bahkan menyuruh kita memilih jalan kehidupan manakah yang  kita mahukan. Hanya ada dua, tiada tiga mahupun empat  dan tiada jalan tengah antara kedua-duanya. Samada kita memilih jalan kebenaran(islam) atau jalan kekufuran. Mari kita sama-sama berfikir sejenak akan ‘pilihan’ kita. Mana satukah jalan yang kita pilih selama kita telah hidup di bumi Allah ini?

Apabila kita ‘pause’ seketika hidup kita dan cuba ‘rewind’ kehidupan orang terdahulu, kita akan dapat melihat dengan jelas pelbagai kisah tentang  ‘pilihan’ ini. Ada golongan yang memilih jalan kebenaran dan ada golongan yang memilih jalan kekufuran seperti yang telah diriwayatkan dalam kisah nabi-nabi dan kaumnya. Secara keseluruhan, kita mampu mentafsir bahawa hanya mereka yang memilih jalan kebenaran sahaja akan mendapat pertolongan Allah, manakala yang memilih jalan kekufuran akan dibinasakan. Di zaman Rasulullah, mereka yang memilih jalan kebenaran terpaksa menerima kejian, maki hamun, dan hidup dalam kepayahan termasuklah baginda sendiri, tapi pada akhir kisah mereka, kejayaan sebenar-benar kejayaan telah dianugerahkan kepada mereka. Punca kejayaan yang diperoleh Rasulullah dan para sahabat adalah hasil ‘pilihan’ mereka yang teguh pada jalan kebenaran (islam).

Kembali ‘play’ di dunia nyata untuk memahami ibrah (pengajaran) yang diperoleh daripada umat terdahulu. Pada zaman kini, ramai umat islam telah mencapai pelbagai jenis kejayaan dalam kehidupan mereka. Mampu berlayar mengelilingi dunia, mampu mendaki gunung tertinggi dunia, mampu bersaing ekonomi dengan negara sedunia dan banyak lagi kemampuan yang dimiliki. Bagi mencapai kejayaan segala usaha diberikan, segala keringat dicurahkan. Cuma jalan manakah yang menjadi ‘pilihan’ mereka? Jalan kebenaran(islam) atau jalan kekufuran?

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata,

“Kita adalah kaum yang diizahkan(mulia) Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang memilih keiizahan selain dari Islam maka Allah akan memberikannya kehinaan”

Kita memiliki ramai umat islam yang berjaya tetapi ramai daripadanya menimbul korupsi terhadap umat islam sendiri. Akibat memilih ‘jalan’ lain selain daripada jalan kebenaran (islam), Allah mencampakkan kehinaan ke atas mereka. Hasilnya, orang islam menindas sesama islam sendiri, pecah amanah dan sebagainya. Adakah ini antara sebab umat islam menjadi makin lemah hingga mudah untuk ditindas dan difitnah sesuka hati? Wallahu a’lam.

Kesimpulannya, kita hanya perlu memilih jalan manakah yang kita mahu ambil. Dua pilihan sahaja diberikan kepada setiap manusia. Samada jalan kebenaran(islam) atau jalan kekufuran…

 

Leave a Reply