4 October 2011 3 Komen

Sweetnya Video Ni, Tapi…………..

Melihat semakin ramai pasangan yang memilih untuk mengikat janji, menyatu dua hati menjadi satu ikatan yang halal melalui perkahwinan, ianya suatu yang positif kerana sekurang-kurangnya berkurang juga gelaja sosial pasangan kekasih yang belum berkahwin.

Kemodenan arus perdana juga seakan memberi satu fenomena baru terutamanya di Malaysia yang sedang mengintai dan memerhati budaya luar untuk dijadikan ikutan. Yang terbaru dan yang sedang menjadi ikutan sekarang adalah budaya mencipta video atau fotografi pra perkahwinan bagi pasangan muda. Ianya nampak manis dan cukup romantis. Kita yang melihatnya kadang-kadang rasa cemburu dan teringin juga buat begitu bila nak kahwin nanti.

Satu ruangan gosip artis baru-baru ini memaparkan gambar pra perkahwinan dua pasangan artis terkemuka di Malaysia. Artis yang pertama itu mungkin idola sesetengah peminat lawak komedi tanah air. Satu lagi pasangan artis lelaki dan wanita yang mungkin menjadi kegilaan peminat-peminat drama melayu. Gambar pra perkahwinan mereka dilihat cukup cantik dan manis. Romantis sekali aksi berpegangan tangan di bawah pohon nan rendang. Tidak cukup dengan itu, gambar-gambar berpegangan tangan ini juga diabadikan pada muka depan kad jemputan mereka sebagai kenang-kenangan dan mungkin juga boleh jadi ikutan anak muda yang sedang haus mencari budaya-budaya luar untuk diikuti.

Saya terbaca satu komen di ruangan komen entri berkenaan yang berbunyi;

Mak : Sayang, ni lah gambar pra perkahwinan sebelum mak kahwin dengan ayah masa muda-muda dulu. Cantik tak?

Anak : Cantiknya mak, ayah pun hensem. Tapi ustazah cakap kalau sebelum kahwin tak boleh pegang-pegang la mak.

Mak : erkkk

Satu komen berbentuk dialog yang cukup sinis tapi mencuit hati ini. Malu dengan budak kecil sebab budak kecil pun tahu halal haram dalam agama. Inikan pula kita yang berpuluh tahun awal menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Benar, ianya nampak manis dan romantis. Tapi adakah itu budaya orang Islam yang sebenarnya. Kita berkahwin untuk menghalalkan ikatan antara pasangan kita. Ikatan yang menghalalkan kita menyentuh pasangan kita. Ikatan yang menghalalkan kita untuk memeluk dan mengucup pasangan kita. Tapi mengapa perlu kita cemari ikatan kita dengan melakukan perkara-perkara tersebut sebelum kahwin. Hairan melihat sesetengah artis dewasa ini. Bertunang bagaikan sudah berkahwin. Selepas pertunangan, foto-foto berpelukan persis suami isteri diabadikan sebagai kenangan. Hilangnya moral orang melayu. Hilang juga moral kebanyakan umat Islam

Orang kebiasaannya akan mengenal artis lebih dari mengenal ahli-ahli ulama. Bila sebut Aaron Aziz, terus terbayang watak ‘cool’ dan penyayangnya Seth Tan dalam drama Nora Elena. Bila sebut Fazura, terus terbayang watak degilnya Cita Maisara mengejar cita-cita dalam drama Tahajjud Cinta. Dan ini memberi kelebihan kepada artis tanah air ini memberi contoh yang baik kepada peminat-peminat mereka kerana mereka punya pengaruh terhadap anak-anak muda. Jika dilihat sekarang, ramai yang meniru fesyen-fesyen artis. Kalau musim artis berjubah, ramai juga remaja yang berjubah. Kalau musim artis pakai tudung, ramai juga remaja yang cuba bertudung. Sekarang tiba musim artis pakai serkup di kepala dan ramai juga meniru fesyen yang dianggap up-to-date itu.

Berbalik kepada isu pra perkahwinan yang saya usulkan tadi. Ianya juga banyak dilakukan oleh artis dan sekarang menjadi ikutan semua pasangan muda. Sekarang tersebarnya banyak video pra perkahwinan yang kononnya menampakkan pasangan itu comel dan persis merekalah pasangan paling bahagia dalam dunia. Saya keliru, mengapa perkahwinan yang menjadi sunah Rasulullah ini dicampur adukkan pula dengan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti ini.

Mari kembali merenung dan melihat apakah maksud perkahwinan yang sebenar. Mengapa lelaki kahwini wanita dan mengapa wanita menerima sang lelaki menjadi raja dihatinya. Apa nilai mahar yang dibayar lelaki kepada wanita dan apa nilai lafaz akad yang dilafaz oleh sang lelaki dengan penuh debaran. Jika kita kaji dan teliti, perkahwinan ini sesuatu yang sangat suci, ikatan halal yang membuat setiap pasangan yang bercinta di alam perkahwinan ini merasa nikmatnya cinta, ikatan halal yang membuat setiap pasangan yang beribadah bersama-sama diberi pahala lebih banyak daripada orang yang beribadah seorang diri.

Lihatlah hikmah perkahwinan. Cubalah menjadi muslim yang mengutamakan pandangan Allah melebihi pandangan manusia. Kita mahu orang melihat kita ini pasangan paling romantis dalam dunia dengan video atau gambar berunsur maksiat yang kita cipta sendiri atau kita mahu Allah memandang perkahwinan kita ini sebagai perkahwinan yang paling dirahmati kerana terlindung dari segala maksiat sebelum kita sah bergelar suami isteri? Tepuk dada, tanyalah hati. Jika hati tidak mampu menjawab, pohonlah pada Allah moga diberi hati yang baru. Hati yang benci kepada maksiat dan hati yang bahagia dan tenang apabila beribadah.

Gambar atau video pra perkahwinan bertemakan angkasa, lautan, planet atau dimana-mana sekalipun, atau secantik mana sekalipun, selagi ia berunsur maksiat, ada aksi berpegangan tangan, biarlah kita ini menjadi orang yang membencinya, jauh sekali memujinya. Jangan budaya barat menjadi ikutan. Sebelum melakukan sesuatu, kaji dan telitilah adakah Rasulullah s.a.w dulu buat perkara yang sama atau tidak. Bukankah Allah memerintahkan kita untuk hidup mengikut sunah Rasulullah s.a.w?

Semuanya sudah ada pra rupanya. Dulu hanya ada pra persekolahan. Sekarang ada pula pra perkahwinan. Selepas ini mungkin bertambah lagi pra itu dan pra ini. Jangan cemari perkahwinan kita dengan maksiat sebelumnya. Ayuh, rebutlah peluang membina rumah tangan yang paling Allah redhai. Betul la kata Wardina Safiyyah dulu, artis memang tidak layak dijadikan idola. Kalau ada artis yang melenting dengan kenyataan ini, jangan melenting kosong. Buktikan anda adalah artis yang boleh dijadikan idola!

3 Responses to “Sweetnya Video Ni, Tapi…………..”

  1. pearl 4 October 2011 at 11:35 am #

    mudah2an, saya dan kawan2 lain yang masih belum berkahwin sentiasa ingat perkara ini. selalu dengar ustaz2 kata, keberkatan sesebuah perkahwinan bermula dari seblum/pada majlis perkahwinan itu sendiri..

  2. espada 4 October 2011 at 2:57 pm #

    boleh kb care2or jalan2 kearah perkahwinan baik lg suci

  3. ash 4 October 2011 at 3:57 pm #

    segalanya nak ber ‘pra’…
    hurmm…


Leave a Reply