12 October 2011 0 Komen

Harmoni dan Berseri-seri

Beberapa hari lepas, sempat bersembang dengan beberapa orang adik bulatan gembira di Malaysia.

Ingatkan mereka teruja bercerita tentang semangat patriotik dan pandangan baru tentang negara, sementelah baru lepas pulang dari kursus kenegaraan. Tiba-tiba isu lain pula yang gemar mereka bualkan. Bahkan sebenarnya, isu ini memang gemar dibualkan rakan-rakan di sekitar.

Kahwin.

Ya, isu kahwin.

Khabarnya ada tawaran harga istimewa untuk kursus perkahwinan di kampus mereka. (ruginya masa kami dahulu, tak ada tawaran ni… huhu). Maka ramailah yang menyertai, dan ramailah yang rancak bercerita isu ini.

Dari pelbagai cerita itu, tertariklah saya untuk berkongsi tiga pandangan peribadi, berkenaan kahwin ini, terutama di kalangan remaja muda belia harapan negara. (oh, saya belum berkahwin lagi, jadi jangan ambil serius sangat pandangan ini. -senyum- )

Segera Bukan Tergesa-gesa

“Benda baik jangan ditangguh-tangguh”

Remaja ini sifatnya semangat. Lebih-lebih lagi kalau nak buat sesuatu yang baik pada dirinya. Ditambah lagi kalau ‘dicucuk-cucuk’ atau ‘dibakar-bakar’ semangatnya. Makin laju dia berlari mengejar apa yang dia percaya.

Tapi dalam bersegera itu, jangan tergesa-gesa rakan-rakanku. Ambillah langkah satu demi satu, hayati, teladani dan manfaatkan setiap langkah. Jangan terus nak melompat jauh, takut-takut jatuh tersembam mencium bumi. Kalau dapat berdiri pun, takut-takut sakit kaki nanti.

Memang ada yang langkahnya lebih panjang dari kita. Makanya, dia segera terkehadapan. Tapi, tak perlulah tergesa-gesa nak kejar rakan-rakan kita. Kita akan tiba juga ke situ nanti, Insyaallah.

Yang lebih penting, apabila tiba ke situ nanti, sudah siapkah fizikal dan jiwa untuk terus melangkah ke depan?

 

Mempermudah Bukan Ambil Mudah

“Banyak sangat adat yang merepek-repek. Duit hantaran pun tinggi sangat, macam nak jual anak pula. Ini semua menyusahkan remaja nak kahwin awal. Sepatutnya syariat itu mudah sahaja. Inilah sebab ramai terjebak dengan gejala sosial.”

Kata pak cik Einstein, everything should be made as simple as possible, but not simpler.

Memanglah kalau tujuan syariat itu, nak menghalalkan hubungan lelaki dan wanita, supaya lepas ni boleh bercintan-cintun couple-couple tanpa dosa, memang semudah angkat akad lafaz depan tok kadi, selesai semuanya.

Tapi, kan nikah itu, matlamatnya lebih besar. Bukan setakat nak beranak pinak ramai-ramai dan tambahkan bilangan umat sahaja.

Tapi kita nak, keluarga yang besar itu harmoni di bawah naungan agama. Anak-anak yang ramai itu, membesar dengan harmoni di bawah naungan Quran. Daripada keluarga yang harmoni, ramai-ramai kita membentuk masyarakat yang harmoni. Masyarakat yang harmoni ini, bersatu membentuk negara yang harmoni. Dan seterusnya dunia menjadi harmoni keseluruhannya.

Ya, ini cita-cita besar.

Tapi inilah cita-cita saya. Dan saya percaya impian anda juga. Kan?

Segala cita-cita besar ini, haruslah bermula di rumah kita nanti. Dengan kata lain, haruslah bermula dari kita, bakal ibu dan bakal bapa yang nak membentuk keluarga ini.

Jadi harmonikan dahulu agama di dalam hati masing-masing.

Usaha sama-sama ya. Jom!

 

Segalanya Tetap Berkisar Tentang Cinta

Isy malu nak sentuh bab ini. (senyum tersipu-sipu)

Tapi ini hakikat. Rumahtangga yang harmoni itu, kuncinya tetap pada cinta yang menyala di jiwa.

Dan seperkara yang kita adakala lupa, cinta itu boleh datang masuk ke dalam hati, boleh juga keluar terbang pergi.

Sebagaimana cinta tiba-tiba datang, boleh jua ia tiba-tiba hilang.

Ada ketika bila sedang dilanda cinta, segala-galanya nampak kecil di mata. Bagaikan segala rintangan dan halangan boleh ditepis, dibelasah, disepak-sepak ke tepi.

Sedangkan iman pun naik dan turun. Inikan pula cinta. Lagi-lagi sesama manusia.

Jadi dengan memahami, hakikat cinta boleh datang dan pergi, boleh naik dan turun, haruslah kita sediakan diri. Agar cinta jika pergi, akan datang kembali. Jika turun, masih lagi setia kaki kita menjejak lantai rumahtangga, tidak lari-lari (atau mencari satu lagi…).

Di mana boleh mendapat jaminan-jaminan ini?

Tentulah cinta dan harapan ini, harus disandarkan pada Yang Maha Pencinta dan Maha Pemberi cinta.

Jinakkanlah diri, awal-awal ini, menghayati ayat-ayat cinta-Nya. Bukan membunyikannya dengan tajwid dan makhraj yang baik sahaja, tapi renung-renung juga maksudnya. Lebih baik lagi, cari kawan-kawan untuk sama-sama merenung dan muhasabah ayat-ayat-Nya bersama. Kalau seorang-seorang kan, lemah sedikit semangatnya.

 

Jadi itulah dia, sedikit coretan-coretan dari saya yang tidak berpengalaman. Yang baik, ambillah. Yang buruk, tinggalkanlah.

Semoga rumahtangga kita nanti harmoni dan berseri-seri. Membesar menjadi lingkungan masyarakat yang harmoni.

 

p/s : siapa nak bersembang lebih lanjut, dan mengajar saya pengalaman dan ilmunya, sila-sila lah ya… Dengan besar hati, saya menerima. Hehe.

Leave a Reply