25 October 2011 6 Komen

Ohhh Harammm!

Saya bukanlah penggemar fanatik cerita-cerita arahan pengarah hebat seperti Erma Fatima. Tetapi, jika dilihat keadaan sekarang, karya-karya pengarah melayu kebanyakannya hanya biasa-biasa dan tangkap muat saja. Kata orang, banyak cerita yang tidak cukup bajet. Namun, bajet bukan ukuran. Tapi, nilai yang kita dapat daripada cerita itulah yang menjadi kayu pengukur. Ketika cuti musim panas yang lalu, dimusim perayaan ada ditayangkan satu cerita karya Erma Fatima. Semua orang tahu, Erma Fatima ini bukan calang-calang orang. Pengarah wanita yang seakan kebal menelan kontroversi dan kritikan, gagah pertahankan apa yang dia karyakan. Saya tidak nafi, bukan kesemua karya beliau adalah yang terbaik, tetapi kebanyakannya punya nilai yang kebanyakan orang tidak nampak atau tidak ambil peduli.

Satu karya beliau yang ditayangkan ketika musim perayaan lalu berjaya menambat hati saya. Satu cerita komedi tetapi sarat dengan pengajaran sinis bagi siapa yang memahami mesej yang mahu disampaikan. Telemovie bertajuk ‘ Ohh Haram’ ini sebenarnya sudah buat kebanyakan penonton tertanya-tanya bagaimana jalan cerita  telemovie dan apa mesej yang mahu disampaikan. Cerita bermula apabila seorang pemuda lakonan Aqasha yang punya peribadi diri yang baik. Setiap hari pakai jubah dan serban. Lulusan pengajian agama dan apa yang keluar dari mulutnya semuanya berunsurkan nasihat. Tetapi sikap pemuda ini sebenarnya membuatkan ibu bapa dan semua orang kampung tidak menyenangi dia.

Eh, kenapa ibu bapa dan orang sekeliling dia tidak menyenangi pemuda yang punya peribadi baik ini?

Kenapa semua orang tidak senang dengan pemuda yang suka bagi nasihat ni? Bukan senang nak cari pemuda yang patuh pada agama dan tidak kekok menasihati orang lain.

Mungkin ini yang bermain diminda pembaca ketika ini. Sebenarnya watak pemuda yang digalas oleh pelakon Aqasha ini peribadinya baik dan pakaiannya juga sejuk mata memandang. Selalu memberi nasihat tetapi cara dia memberi nasihat itu membuat orang lain tidak senang dengannya. Watak yang dipegang ini adalah seorang pemuda baik yang tidak pandai menggunakan teknik-teknik menegur dan menasihat dengan berhikmah.

Mari saya terangkan. Islam menggalakkan penganutnya nasihat-menasihati antara satu sama lain. menegur jika ada saudara seagama membuat kesilapan. Namun, jangan lupa. Bila kita disuruh menegur kesalahan orang lain, bukanlah bermakna kita boleh menegur tanpa kewarasan akal dan kelembutan hati, Islam juga mengajar kita cara menegur yang berhikmah. Belajarlah dari teladan yang Rasulullah s.a.w sendiri tunjukkan.  Bagaimana baginda mula sampaikan Islam dengan penuh hikmah walaupun disekeliling baginda ketika itu adalah suasana jahiliah yang maha dasyat. Hijrahnya Umar A- Khatab dari jahiliah kepada taat itu bukan kerana teguran Rasulullah yang pedas atau sinis, tapi hijrahnya itu apabila beliau sendiri melihat kecantikan yang ada pada agama Islam yang Rasulullah sampaikan.

Mari jelaskan lagi mesej artikel saya pada kali ini. Alhamdulillah, semakin hari semakin ramai yang diberi hidayah oleh Allah untuk mengenal erti hidup sebenar. Kata orang, erti hidup pada memberi. Ramai yang mula menyedari bahawa hidup akan lebih bermakna apabila kita merubah diri kita menjadi lebih baik dan sekaligus mengubah orang lain juga menjadi lebih baik. Namun, jangan lupa bahawa kita sedang berhadapan dengan manusia yang pelbagai-bagai. Mari hayati dialog dibawah;

A: ” Fatima ( bukan nama sebenar) ni baik kan. Saya suka kawan dengan dia. Tapi sayang sikit dia tak pakai tudung.”

B: urmm tu lah.

A : Awak rasa kenapa dia tak pakai tudung ye? Lagi cantik dia pakai tudung n tak susah pun pakai tudung saya rasa.

B: Mungkin susah bagi dia. Alaa macam kita la. Kalau kita sekarang pakai tudung biasa-biasa, tiba-tiba adala orang suruh kita pakai tudung labuh macam ustazah tu mesti lah kita rasa susah ke, belum bersedia ke. kan? Macam tu jugak dengan Fatima. Semua orang ada peringkat hidup masing-masing.

A : glupp. betul jugak tu.

Perbualan berakhir disitu. Perhatikan analogi dan contoh yang dibuat oleh si B. Pada saya ada betulnya. Setiap manusia ada tahap masing-masing. Yang perlu kita ambil perhatian adalah, apabila kita rasakan diri kita ini mampu berubah menjadi baik, mampu merubah pakaian kepada lebih sopan, jangan sesekali kita menganggap semua orang seperti kita. Jangan sesekali menganggap semua orang mampu berubah sekelip mata seperti kita. Jangan kita rasa kita yang pakai tudung biasa-biasa ni sekelip mata saja boleh ubah penampilan dengan pakai tudung labuh, kita anggap kawan yang tak pakai tudung boleh sekelip mata berubah pakai tudung dengan alasan ianya adalah mudah.

Tidak semua yang mudah pada kita, mudah juga bagi orang lain. Berusaha dan berdoa itu tidak salah, namun jangan kita terlalu berharap orang yang kita tegur dan nasihat saban hari mampu berubah seperti apa yang kita bayangkan. Adik usrah saya pernah berkongsi cerita;

” Akak. Saya dulu sekolah agama. Budak-budak sekolah agama kan semua tudung labuh. So kalau pakai tudung yang kurang labuh ni mulalah saya kena marah dengan kakak-kakak. Macam memaksa pun ada. Diorang ni memang lebih pentingkan pakaian daripada tarbiyyah diri”

Pada saya, Islam ini cantik dan sangat indah. Tidak ada unsur-unsur yang boleh membuat orang lain sakit hati atau tidak suka kepada Islam. Tujuan kita menyampaikan Islam bukanlah meramaikan orang Islam yang bertudung labuh atau berkopiah semata-mata. Tujuan kita sampaikan Islam ini adalah untuk menarik hati orang-orang Islam untuk lebih dekat dengan Allah s.w.t. dan merasakan keindahan Islam dan hidup bersama nilai-nilai Islam. Seperti situasi diatas, jangan paksa orang lain berpakaian seperti yang kita hendakkan tapi ajarlah mereka ilmu agama yang mampu buat mereka taat kepada Allah. Bila jiwa sudah taat kepada Allah, maka perintah-perintah untuk melabuhkan tudung hingga bawah paras dada itu dengan sendiri dilakukan kerana fahamnya mereka tentang perinta Allah yang wajib diikuti.

Untuk mendidik orang lain menjadi lebih baik, mereka bukan perlu dipaksa tetapi mereka perlu diberi kefahaman. Kita tidak mahu pelajar sekolah agama yang pakaiannya sopan santun tetapi melahirkan anak luar nikah akibat berzina. Kita tidak mahu ustaz yang dihormati disekolah didakwa keran mencabul pelajar-pelajar wanita disekolah. Kerana apa? Kerana tiada amal dalam ilmu yang mereka miliki inilah yang buat agama Islam terfitnah.

Buat yang sedang berusaha membawa sahabat-sahabat mereka merubah diri mereka;

Kalau dia belum bertudung, janganlah perli atau tegur dengan sinis untuk dia segera bertudung tapi sebaliknya ajarkan dia hingga dia faham mengapa dia perlu taat kepada perintah Allah untuk semua wanita menutup auratnya.

Kalau dia jenis yang malas solat , jangan malukan dia dengan tegur di laman-laman sosial seperti facebook dan sebagainya untuk dia solat segera tapi sebaliknya ajarkan dia hingga dia faham mengapa dia perlu solat dan bagaimana solat itu memberi kesan kepada keseluruhan kehidupannya.

Kalau dia jenis yang tidak boleh berenggang dengan kekasih hatinya, jangan paksa dia untuk segera berpisah dan berhenti daripadi berhubung dengan kekasih hatinya, tapi sebaliknya ajarkan dia supaya dia faham mengapa perlu menjaga batas-batas hubungan dengan yang bukan mahram dan perhubungan yang bagaimana yang Allah redha.

Saya menyeru sebegini bukan untuk jatuhkan semangat jiwa-jiwa yang sedang berkobar mahu menyampaikan Islam tetapi sebagai secebis pesanan supaya kita semua memahami, kita ini menyeru orang kepada kebaikan bukanlah berlumba-lumba mendapat hasil yang cepat. Tapi kita berluma-lumba untuk hasilkan seorang mukmin yang benar-benar meninggalkan dosa yang dia lakukan sebelum ini dan terus memandang kehadapan untuk merubah diri kerana dia faham apa yang Islam ajar kepada setiap penganutnya. Laman-laman sosial sekarang menjadi medium ramai orang untuk menyampaikan Islam. Ianya sesuatu yang sangat positif. Tapi ada juga yang guna laman-laman sosial ini untuk mengaibkan orang lain dengan teguran-teguran sinis. Ingatlah satu perkara, menegur sambil membuka aib seseorang mukmin itu bukanlah cara yang Islam anjurkan malah ia tidak langsung menampakkan keindahan Islam itu sendiri.

Semua orang melakukan dosa dan sebaik-baik orang  yang berdosa adalah orang yang bertaubat atas dosa-dosanya selama ini. Bagi yang sedang menyeru orang lain kepada kebaikan. Teruskan usaha mulia itu dan jangan lupa, setiap orang yang melakukan dosa itu berhak ditegur dengan cara berhikmah kerana kita tidak mahu dia tinggalkan dosa-dosanya kerana takut atau malu kepada manusia tetapi biarlah dia faham bahawa dia tinggalkan dosa-dosanya kerana takut dan malu kepada Allah s.w.t.

Kadang-kadang kita terlalu selesa menjadi orang yang memerhari jahiliah disekeliling sambil menegur dan kita terlalu gairah menegur tanpa memahami tujuan kita menegur. Kadang-kadang kita menegur bukan kerana kita sayang tapi kerana emosi kita. Hati-hati dalam menegur, bimbang jika cara kita menegur bukan saja tidak mendekatkan orang lain kepada Islam malah buat mereka menjauhi Islam. Nauzubillah!

Islam itu cantik. Rasulullah adalah insan yang berjaya membuktikan kecantikan Islam itu melalui akhlak dan cara dakwah baginda yang penuh hikmah. Mari contohi qudwah hasanah kita ini. Kerana sayangnya kita kepada Rasulullah, tandanya sayangnya juga kita kepada Allah s.w.t. :)

 

6 Responses to “Ohhh Harammm!”

  1. cik kompas 25 October 2011 at 3:57 pm #

    perkongsian yang cukup menyentuh hati..betul, kalau nak menegur, kita mesti ada cara.dan jika nak berubah, perlukan masa. sedikit demi sedikit. yang penting, kena selalu tarbiyah hati utk lebih kuat,jika nak berubah.

  2. s.u.r 28 October 2011 at 2:31 pm #

    baiklah sy akui jiwa sy sgt2 tersentuh bila baca entri ni dan ‘taubat…usah ditangguh’ tp mungkin sbb keadaan sekeliling atau hati yg dah keras jd xde setitik pun airmata yg mampu sy tumpahkan…selama ni x pernah ade org yg tegur kalau sy buat salah atau berpakaian yg tdk sopan. kalau ade pun, teguran nye keras dan kasar yg x lebih dr hanya mmbuatkn ht dan jiwa sy smakin jauh dan memberontak. tp siapa lah yg dpt nafikan suara2 ht yg selalu rindu pd teguran2 yg baik yg boleh membawa diri jauh ke arah kebaikan..cerita2 nabi dan para sahabat sungguh memberi motivasi yg besar mkna nya pd diri sy..
    jd blog2 seperti azzariyat lah yg slalu sy kunjungi dan setelah hampir 3 bulan mmbaca scra snyap dan sembunyi sy ingin ucpkn terima kasih krn artikel2 disini telah mnjadi penggganti sahabat dan keluarga yg slma ni x pernah memberi sokongan atau teguran.

    • muzaf 28 November 2011 at 8:23 am #

      Sdr S.U.R, alhamdulilah.. semoga kita diberikan kekuatan untuk terus istiqamah :)

  3. semutmerah 31 October 2011 at 9:07 am #

    terima kasih kepada s.u.r
    banyakkan berdoa moga Allah temukan awak dengan sahabat yang sentiasa mengingatkan kepada Allah s.w.t
    berdoa apa saja, yakinlah Allah Maha Mendengar dan Allah dekat untuk makbulkan doa hamba-Nya :)

  4. rabbani 3 December 2011 at 1:50 pm #

    tiap hari sya doakan untuk shbat sya ni spya ttup aurat..dah bnyk kali sya cuba nk tgur tp gagal..sya rsa mcm2 bila nk tgur…tkot itu la tkot ini la..tlg doakan shbat sya yg sorg ni tau..sya sedih n kcwa sgt2 bila tiap kli dgn dia tp dia pkai sluar pendek..

    • muzaf 3 December 2011 at 2:13 pm #

      Sdr Rabbani,
      Memang banyak dugaannya lebih-lebih lagi untuk menegur sahabat sendiri. Insya-Allah, semoga kita diberikan kekuatan untuk memberi teguran kepada sahabat dan semoga sahabat itu sedia menerima sebarang teguran. Bukankah agama itu nasihat? Kami mendoakan sahabat tuan dibukakan hatinya.


Leave a Reply