28 October 2011 3 Komen

Jatuh Cinta Berkali-kali

Amaran : Saya rasa, jiwang sedikit, yang allergic sila lari main jauh-jauh. Ya, lari. Sekarang.

Awak, hanya mereka yang merasa, tahu nikmatnya jatuh cinta. Dan bahagianya kita, merasa nikmat jatuh cinta berkali-kali dalam hidup ini.

Masing-masing sibut melilit adunan tepung + air + garam mineral asli, pada batang-batang kayu yang telah dibersihkan sedikit dengan tangan. Beberapa orang sedang memanggang, membakar, menyalai, mengasap, menggolek dan mencampakkan adunan-adunan yang dililit pada batang kayu itu pada unggun api.

Saya duduk tersenyum seorang diri kerana ada niat nakal bermain di hati. Beberapa ketika, tepat seperti jangkaan, datang seorang brader menghulurkan adunan yang telah menjadi seperti roti panas yang sungguh rangup dan sedap. Kemudian, dia berlalu dan datang seorang lagi. Datang seorang lagi. Dan lagi, dan lagi. Waah sungguh bahagia tidak perlu membakar roti sendiri. (Jangan tiru gelagat ini).

Seketika, semua orang sudah mengambil tempat duduk masing-masing, mengelilingi unggun api yang marak menyala. (jangan risau ini bukan ritual ajaran sesat).

Jika dulu, aktiviti ini sangat saya gemari. Kerana akan dihiasi dengan aktiviti yang sangat best, seseorang akan memetik gitar, dan kami ramai-ramai akan menyanyi lagu. Tetapi, setelah berkenalan dengan “mereka” ini, aktiviti ini lebih-lebih lagi saya gemari, kerana akan ada sesi refleksi diri dan mengenal Illahi. Best kan?

Tiba-tiba topik yang dipilih malam itu, membuatkan saya gamam sendiri. Aduh, saya memang bermasalah kalau ditanya topik ini.

“Bagaimana anda boleh mula terjebak ke dalam gejala yang sungguh bermoral ini?”

Ia seumpama, seseorang bertanya saya, “bila anda mula jatuh cinta dengan isteri anda?”. Bagaimana saya hendak menjawab, bahkan saya jatuh cinta padanya setiap masa, sehingga saya sendiri keliru yang mana satukah jatuh cinta kali pertama. (eh, saya belum berkahwin lagi, ini andaian sahaja… hehe)

Begitulah juga dengan jalan ini. Saya jatuh cinta berkali-kali.

Mungkin kali pertama, ialah ketika saya berkenalan dengan seorang brader, dan dia membelanja saya makan sambil berkongsi pelbagai cerita. Kemudian minggu hadapan, dia membelanja saya makan lagi. Dan lagi. Dan lagi. (sehingga tiba-tiba aktiviti membelanja makan ini berhenti sendiri… hehe).

Mungkin kali pertama, ialah ketika seorang brader ini menceritakan perasaannya tentang ‘apa ertinya dia menganut Islam’ dalam bulatan gembira kami (mengambil masa sekitar 2 jam lebih… fuhh). Ketika itu saya juga mula tertanya-tanya, ‘apa ertinya saya menganut Islam’.

Mungkin kali pertama, ialah apabila saya membelanjakan duit sebanyak RM 30, dengan sedikit rasa berat hati. Tapi, alangkah gembiranya saat pertama kali mengucup al-Quran terjemahan mini berzip, yang pertama kali dimiliki dalam hidup ini. (al-Quran itu berwarna coklat, dan telah hilang di masjid, oh sangat sedih~).

Mungkin kali pertama, ialah apabila seorang brader dengan sabar mendengar dan menyemak hafalan surah ad-duhaa saya. Ketika itu memang rasa malu, sebab usia dah lanjut, surah-surah pendek pun tak hafal lagi. Maka saya telah menarik tangannya ke dalam bilik, dan mengunci diri kami supaya orang lain tak tahu aktiviti yang sedang dijalankan. Dan dia tanpa menggelakkan saya, sangat sabar dengan senyuman memberi semangat dan membetulkan bacaan.

Mungkin kali pertama, apabila jiwa saya pecah, berterabur dihempap pelbagai masalah dari luar dan dalam, sehingga saya mula tidak pasti kenapa saya berada di jalan ini. Ketika itu, seorang brader telah menepuk mesra bahu ini, dan mengingatkan saya kisah-kisah nabi, dan beberapa potong ayat al-Quran yang Allah hadiahkan untuk memujuk hati nabi. 2 jam pengisian beliau selepas itu, tidak dapat saya hayati, kerana sibuk melayan air mata di pipi. Kemudian, setelah semua orang beredar, dengan sabar dia memegang tangan dan mengusap bahu saya tanpa berkata apa-apa, dan menunggu jiwa saya tenang kembali. Itulah kali pertama saya menangis semahunya, di hadapan seseorang yang bukan keluarga.

Mungkin kali pertama, ialah apabila jiwa saya sangat resah kerana tiba-tiba program  yang direncanakan akan berlangsung 2 minggu lagi, tidak ada sumber kewangan. Tiba-tiba seorang brader datang menghulurkan RM300. Seorang brader lagi datang menghulurkan RM50. Keesokannya di kelas, seorang sister menghulurkan sampul surat berisi kad atm dan nombor pin, serta meminta saya sendiri mengeluarkan RM300. Datang lagi brader dan sister yang prihatin, menghulurkan duit infaq. Dengan tiba-tiba, tidak sampai 3 hari, saya telah berjaya mengumpul hampir RM1200, dan program dapat dijalankan dengan lancar. Sungguh mereka telah mengajarkan saya erti berkorban di jalan Allah.

Mungkin kali pertama, ialah apabila seorang adik menghantar SMS kepada saya, “Abang, mulai hari ini saya berjanji nak berubah menjadi lebih baik”. Di saat saya sendiri merasa ingin lari dari jalan ini, datang adik yang sungguh bersemangat ini, menguatkan saya kembali. Subhanallah.

Mungkin kali pertama, ialah apabila diajak berqiam beramai-ramai di suatu tempat yang asing bagi saya. Tiba-tiba berjumpa dengan sekian ramai brader-brader yang tidak dikenali, dan perlu membaca al-Quran beramai-ramai dalam bulatan-bulatan kecil. Allah! Kerdilnya rasa diri, kerana saya seorang sahaja yang tidak dapat membaca dengan lancar, sedangkan mereka, dengan lagu-lagu yang merdu dan meruntun jiwa. Tapi, mereka sangat baik dan peramah, tidak mempedulikan kelemahan-kelemahan saya, dan melayan saya seperti sebahagian dari brader-brader mereka.

Mungkin kali pertama, ialah apabila saya sangat letih setelah tamat program dan menumpang tidur di rumah seorang brader. Kerana sangat letih saya telah tertidur di sofa. Tiba-tiba ada tangan menepuk lembut bahu saya, mengajak saya tidur di dalam bilik. Tilam dan bantal semua telah tersedia, dan saya yang sedang mamai dipimpin untuk baring, dan kemudian diselimutkan olehnya. Sedang dia sendiri malam itu, mungkin tidur di luar bilik.

Mungkin kali pertama, ialah apabila seorang brader menyapa saya di yahoo messenger hampir setiap minggu bahkan adakala hampir setiap hari, untuk bertanya khabar tatkala beliau mendengar khabar saya sedang dilanda masalah. Sungguh usahanya untuk menggembirakan hati saya itu, mengajar saya nilai kasih sayang dan ukhuwwah.

Anda mahu saya teruskan?

Saya boleh ceritakan beribu lagi detik-detik saya jatuh cinta pada jalan ini.

Ada ketika saya ingin lari, tapi tangan-tangan mereka, menarik saya untuk jatuh cinta lagi.

Di bulatan gembira inilah, saya belajar mengenal diri. Lebih gembira lagi, saya belajar mengenal Illahi.

Jadi apabila ada yang bertanya, “Bila anda mula berada di jalan ini?”, apa lagi boleh saya katakan?

Ketahuilah ya akhi, saya mula melangkah setiap kali saya jatuh cinta. Dan di jalan ini, saya telah jatuh cinta, berkali-kali, dalam kembara saya mengenal cinta Illahi.

 

 

Ps : Saya terbaca semula artikel ini (Kenapa Awek Tak Nak Dengan Saya?) , dan terasa nak menulis perkara ini…

Ps  : saja nak promote bulatan gembira… hehe

Pss : panggillah apa sahaja, usrah, halaqah, circle, study group, quranic circle, atau apa sahaja, yang penting ia menggembirakan dan membahagiakan anda.

Psss : Jom jadikan hidup kita selepas ini harmoni dan berseri-seri di bawah naungan al-Quran.

3 Responses to “Jatuh Cinta Berkali-kali”

  1. cik kompas 28 October 2011 at 7:27 pm #

    subhanaallah…bahagianya punyai sahabat-sahabat yang tak jemu membantu..rasa sebak pon ada..huhuhuhu..

    alhamdulillah, bersyukur juga kerana punyai sahabat2 yang juga baik seperti yg kamu ada…

    kembali terfikir saat2 itu..ukhwah yg teramat manis..

    jgn pernah jemu utk mencuba..

  2. syazwan 29 October 2011 at 1:30 am #

    Teringat dulu mase kat sg Congkak, bakar sosej, kentang, duduk keliling api, wat luahan hati. Masing2 dengan masalah sendiri. Rindu pade naqib2 usrah. Insya Allah, teringin sgt nak berusrah di sg congkak lg..

  3. aqdiadankamu 29 October 2011 at 10:19 am #

    hehe,rasa mcm kenal jek bulatan bahagia yg dtgh-tghnya ada unggun api tue.bila r dpt sama2 lg mcm tue ek;)


Leave a Reply