Mencintamu selalu

Setiap hari masa kita banyak digunakan untuk bersama manusia. Sebagai contoh, seorang pelajar banyak mengunakan masa di kuliah, bersama rakan-rakan seperjuangan, kemudian di malam harinya masa untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji. Seseorang yang berkerjaya juga begitu. Hidupnya pasti tidak sah kalau tidak berurusan dengan manusia sekelilingnya. Sama ada dia bekerja di sektor awam mahupun swasta interaksi antara makhluk itu pasti wujud demi melangsaikan tugasan kerjanya.
Apabila kita timbal semua masa yang kita habiskan, ternyata masa bersama makhluk dalam skala yang besar. Bagaimana pula masa kita dengan Allah, Pencipta manusia? Kita mampu menjawab dengan skema, “Setiap amalan yang dibuat atas niat kerana Allah, itu dikira ibadah”. Memang tidak dinafikan kenyataan tersebut benar tetapi adakah itu benar-benar kenyataan dari hati? Sesungguhnya hati manusia itu sentiasa dalam keadaan berbolak-balik. Kita mungkin mampu berkata ,“Aku lakukan ini ikhlas kerana Allah”, tetapi hati masih dipengeruhi oleh nafsu secara sedar ataupun tidak. Para syaitan tidak akan membenarkan kita dengan senang melakukan amalan kerana Allah, mereka pasti akan cuba mengubah niat murni kita kepada buruk dengan mencampur-adukkan unsur riak dan takbur dalam hati. Kejahatan yang diiringi rasa sedih kerana takut berdosa, lebih disukai Allah daripada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Kejahatan kita mungkin diampuni jika kita bertaubat dengan hati yang merendah diri. Kebaikan kita mungkin tertolak bila rasa takbur menguasai hati. Oleh itu, sentiasalah kita memperbaharui niat ketika melakukan sesuatu agar sekecil-kecil amalan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah.
Allahughayatuna (Allah matlamat kami)
Ar-rasul qudwatuna (Rasul contoh kami)
Al-Qur’an dusturuna (Al-Quran panduan kami)
aljihad sabiluna (Jihad jalan kami)
al-mautu fi sabilillah asma amanina (mati syahid di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi)
Walaupun saban hari, makin ramai manusia melupakan Allah, sifat Ar-Rahman-NYA tetap mencintai manusia apatah lagi kepada manusia mukmin yang di bawah naungan Ar-Rahim-NYA. Cinta Allah itu maha luas, setiap apa yang berlaku di sekitar kita tersurat dan tersirat erti cinta-NYA kepada hamba-NYA. Baik atau buruk sesuatu, tiap-tiap itu memiliki rahsia Allah Yang Maha Agung. Cuma kita sahaja sering alpa dan tidak ingin mencuba untuk memahami apatah lagi menghayati rahsia atau hikmah yang ingin diungkapkan. Tambahan pula, ayat-ayat cinta-NYA (Al-Quran) langsung tidak diendahkan. Sedangkan klu-klu kepada rahsia cinta Allah tertulis indah di dalamnya.
“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)
Kita tidak tentu arah menyalahkan diri sendiri dan lebih teruk lagi menyalahkan takdir atas matlamat atau keinginan dunia yang tidak tercapai. Apabila dikejar tidak dapat, yang dipikul berciciran semakin bertambahlah kecamukan hati disulami rasa sedih yang tidak berkesudahan. Walhal sesiapa yang yakin beriman kepada Allah dan ayat-ayat-NYA, pasti kental jiwanya menghadapi segala ketetapan yang Allah sajikan padanya. Oleh sebab seseorang itu sentiasa yakin dan hatinya redha, segala apa yang berlaku ke atas dirinya merupakan belaian kasih sayang daripada Allah S.W.T. Dia yakin Allah akan memberi apa yang terbaik untuk dirinya. Usahlah dia bersedih hingga mengalirkan air mata murahan hanya kerana tangisi nikmat dunia yang tidak dapat dirasai. Sesungguhnya air mata itu hanya membawa dia kepada kerugian. Sabda Rasullulah S.W.T, “Ada dua titisan yang Allah cintai. Pertama titisan darah parah syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan Allah”. Oleh itu berhati-hatilah dalam bersedih, kerana ada kesedihan yang akan mengakibatkan kita sedih lebih lama. Dan ada kesedihan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya.
“ Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak karunia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yunus: 10)
Marilah kita sama memperbaharui diri dengan memperbanyakkan memohon ampun kepada-NYA. Sebagai manusia yang lemah kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Selangkah kita cuba mendekati Allah, seribu langkah Allah makin dekat dengan kita. Usahlah bersedih kerana Allah sentiasa mencintaimu. Apakah ada yang lebih baik daripada cinta Allah?
Di dalam sohih Muslim tercatat : Firman Allah Ta’ala ( maksud ) : Sesiapa yang mendekati-Ku sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku sehasta maka Aku akan menghampirinya sedepa dan sesiapa yang datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan maka Aku akan datamg kepadanya dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemui-Ku (selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik pada-Ku dengan sesuatu nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.





