cool je lah brader
Nota : Mungkin tidak semua dapat memahami dengan baik apa yang ingin disampaikan, tetapi moga-moga ada lah manfaatnya pada semua walau sedikit.
Ya, saya tahu anda penat. Saya faham anda tak larat.
Saya tahu juga, anda tuan punya badan yang merasa, dan saya tidak layak berkata apa-apa, tapi saya rasa perlu juga saya katakan;
“Cool je lah brader… (dan sister juga)”
Saya faham, ada brader-brader kita, yang terpaksa berkorban masa dan harta yang sangat banyak, untuk menegakkan cita-cita yang besar ini. Bahkan ada ketika, ada brader yang tak berani nak membeli hatta sekotak air di 7 Eleven, selama beberapa ketika, kerana risau dengan baki akaun bank yang kian berkurang. Begitu pun, cita-cita ini masih menuntut anda ke sana ke mari, infaq di sana sini, berbelanja itu ini.
Saya faham adakala anda tertekan, tapi, cool je lah brader.
Kan kita yang terbiasa bercerita kisah Umar dan Abu Bakar berlumba-lumba menginfakkan harta, hingga Abu Bakar memberikan seluruh hartanya di jalan ini. Bahkan mata kita yang pernah menangis, mendengar kisah Mus’ab Umair yang meninggal tanpa kain yang cukup hatta untuk menutup seluruh tubuhnya, hingga kakinya ditutup dengan daun kering. Dan kita meneladani kisah Khadijah, Abu Darda’, Said Bin Amir, serta puluhan kisah sahabat yang hidup serba kekurangan harta, kerana dilaburkan seluruhnya pada menegakkan agama.
Kini Allah memberi kita peluang, menjadi sekelumit dari perjuangan mereka, jadi cool je lah brader.
Saya tahu, ada brader-brader kita, yang terpaksa travel beratus-ratus kilometer, menghabiskan berbelas bahkan adakala berpuluh jam seminggu di atas jalan raya dan rel kereta api. Semata-mata untuk berbulatan gembira, atau berkumpul dan berbincang mengenai cita-cita yang besar ini. Saya tahu, adakala, brader-brader kita kurang makan, kurang tidur, kurang rehat, dan tingkap-tingkap bas serta tren itulah menjadi saksi, brader-brader kita melepaskan kepenatan.
Saya faham adakala anda penat, tapi, cool je lah brader.
Kan Abu Thalhah yang berumur kira-kira 70 tahun itu dan tempang pula sebelah kakinya, yang terpaksa dipujuk oleh anak-anaknya supaya tidak ikut berperang. Hatta khalifah Uthman terpaksa turun padang, memujuk Abu Thalhah agar berehat sahaja di rumah. Tapi dibantah Abu Thalhah, kerana kefahamannya atas kewajipan berangkat di waktu senang ataupun susah, di waktu muda ataupun tua. Bahkan kita terdidik dengan kisah Abu Ayyub, yang sungguh tua dan dhaif, namun masih teguh menjawab seruan jihad hingga beliau wafat di pertengahan jalan. Puluhan sahabat lagi, meski tua dan lemah, masih lagi teguh merempuh perjalanan beratus-ratus kilometer, menaiki unta, berjalan kaki atau belayar di tengah lautan, demi memenuhi cita-cita besar ini.
Kini Allah memberi kita yang muda belia sihat bertenaga ini peluang, menjadi sekelumit dari pengorbanan mereka, jadi cool je lah brader.
Saya tahu, ada brader-brader kita, pening kepala nak menterjemahkan teori kepada realiti. Pelbagai cara telah dicuba, jiwa-jiwa di depan mata begitu juga. Berbincang begitu begini, merancang itu ini, akhirnya tidak nampak pun hasil di depan mata. Terasa lemah betul kita mentarbiyyah manusia.
Saya faham, ada yang serabut kepala, tapi, cool je lah brader.
Kan Abu Rawahah pun pernah pening juga kepala nak menyampaikan kefahaman Islamnya kepada teman rapatnya Abu Darda’. Anak-anak Amru Bin Jamuh, juga pernah serabut kepala merancang strategi memahamkan ayahnya tentang agama ini. Bahkan Ikrimah dan Abu Sufiyan itu sendiri berapa kali pernah menyerabutkan pemikiran dan perasaan Rasulullah dan sahabat-sahabat dengan kerenah zaman jahiliyyah mereka? Kan kisah-kisah mereka mengajar kita, kesabaran itu yang lebih utama. Akhir itu lebih baik dari mulanya.
Kini Allah memberi kita pelajar yang tajam akal tinggi semangat ini peluang, menjadi sekelumit dari warisan hikmah mereka, jadi, cool je lah brader.
Saya tahu, ada brader-brader kita letih buat kerja bersama-sama. Banyak kali makan hati dengan sikap teman-teman di sisi. Berpuluh kali kesabaran diuji, menanti emel dan sms dibalas, menanti teman-teman yang tiba lewat, menanti tangan-tangan yang hendak menyambut tugas, menanti jiwa-jiwa yang sedia ke depan. Kadang-kadang marah dan geram melihat hasil kerja teman-teman.
Saya faham, adakala anda tertekan, marah dan letih menunggu, tapi, cool je lah brader.
Kan sahabat-sahabat yang ditarbiyyah nabi pun pernah tersilap. Kaab bin Malik pun pernah tersilap membuat pilihan. Abdullah bin Jahsy pun pernah tersalah langkah menafsir arahan nabi. Hatib ibn Abu Baltaah yang keluar berjihad di perang Badar pun pernah tersilap hingga Umar begitu marah hampir-hampir nak penggal kepalanya. Biasalah manusia tersilap dan tersalah, tetapi mereka saling melengkapi dan menyokong satu sama lain.
Kita kan bersatu kerana cinta, dan ingin masuk syurga bersama-sama, jadi, cool je lah brader.
Saya tahu, banyak lagi masalah yang anda hadapi. Dugaan hidup datang dari depan, belakang, dan dari arah yang tak disangka-sangka.
Tapi, cool je lah brader.
Bukan niat saya nak memperkecil-kecilkan derita yang ditanggung. Bahkan saya sedih juga, memandang tubuh-tubuh lesu anda dengan hujung mata saya. Runtun juga jiwa saya melihat garis-garis keletihan di senyum-senyum hambar anda semua.
Tapi, saya lebih sedih lagi, kalau keletihan dan masalah-masalah ini, membuatkan anda berhenti dan ingin berpaling dari jalan ini.
Anda kan benih-benih harapan, cita-cita besar ini.
Kalau anda pun ‘down’, siapa nak membina batu-batu asas istana besar dan indah yang dicita-citakan ini?
Jadi, apa pun yang datang;
Cool je lah brader (dan sister juga).
Senyum. Jom langkah bersama-sama.
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
[2 : 195]
Ps : brader/sister kena cari dan tadabbur asbabun nuzul ayat ini, baru rasa cool dan tenang, walau apa dugaan yang datang.
Pss : jom ramai-ramai kita sokong satu sama lain. Kerana cita-cita ini, kita tanggung bersama.
Psss : terus menuai benih usaha di dunia, supaya boleh dituai di akhirat sana… jom kejar syurga bersama-sama..






berkongsi asbabun nuzul ayat 2:195
Hudzaifah r.a berkata, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan masalah infak harta. ( HR Bukhari).
Abu Ayub al-Anshari r.a berkata,
” Ayat ini turun pada kami kaum Anshar, kerana ada yang tidak mahu menginfakkan hartanya di jalan Allah.”
[ Hadis Sahih, riwayat Tirmidzi]
ada kisah sedih sikit sebalik kisah kaum ansar tu…