Alahai Merewang
Hingar bingar suasana rumah Mak Yah dan Pak Kassim hari itu.
Almaklumlah, satu hari lagi anak perempuannya akan bernikah. Dah la tu, anak perempuan tunggal pulak tu. Siapa yang tak sayang anak emas seorang ni.
‘Ting, ting’, jatuh satu tiang khemah.
‘Tang, tang’, jatuh lagi dua.
‘Ting, tung, dushmmm, bruhm’, habis seluruhnya jatuh.
Semua berpaling terkejut.
Mak Long Peah, Mak Ngah Zaitun, Mek Yam, Mak Teh, Mak Usu di dapur.
Pak Long Yusuf, Pak Da Taib, Zaini, Busu yang melapah daging.
Acik, adik,Lili, Jenal, Ucu yang berlari-lari.
Semuapun terpaku.
Senyap sunyi seketika.
Tak pernah-pernah dalam sejarah hidup Pak Kassim, khemah yang dipasangnya jatuh sebegitu rupa. Pak Kassim adalah orang yang paling ‘alim’ dalam pemasangan khemah. Bahkan dia menjadi tukang sewa khemah kepada siapa pun yang mahukan khidmatnya. Dengar saja nama Pak Kassim Canopy, semua kenal.
‘Ya Allah, abang! Khemah jatuh!’
Teriak Mak Yah sejurus dia melihat khemah menyembah bumi sambil kakinya bergerak pantas kearah suaminya.
Entah dari mana arah datangnya Mak Yah, tengok-tengok terjongol keluar dia.
Pak Kassim macam biasa, cuba berlagak tenang, ’control macho’ kata budak-budak muda.
Apa-apa pun kata mereka, Pak Kassim tidak peduli.
Senyuman tetap menghiasi ruang wajahnya.
‘Tidak mengapa Yah. Nanti abang kerah budak-budak ni sama untuk bangunkannya semula ya’.
Sebelum zohor, khemah yang runtuh kembali berdiri megah.
Dihiasi kain tema hijau muda dan putih. Indah.
Lima khemah semuanya. Seumur hidup Pak Kassim, inilah jumlah khemah yang paling banyak pernah digunakan untuk anaknya. Pak Kassim bukan dari keluarga berada, tapi cukuplah untuk mereka anak beranak, lagipun ini adalah untuk anak bongsunya. Dia berhajat untuk buat yang paling terbaik untuk anaknya itu.
Kejadian pagi tadi benar-benar mengejutkan Mak Yah. Khemah runtuh. Nasib baik tiada yang kena hempap. Kejadian itu menyebabkan Mak Yah hilang tumpuan pada kerja-kerja di dapur.
Walau bagaimanapun, ketenangan Pak Kassim membuatkan Mak Yah lega, rasa beruntung bersuamikan Pak Kassim. Hatinya kembang kuncup.
Mak Yah mula sibuk menghitung-hitung keperluan dapur untuk memasak.
‘Ayam , bawang merah, bawang putih, cili boh. Hurm, apa lagi ya.’
‘Acar, timun, cuka, kapur, bawang besar, lobak merah, ikan kering, minyak.’
‘Hah, beras ! Kalau lupa yang ini, tidak berkenduri la kita.’
‘Hurm, untuk makan pengantin mesti lebih spesel. Raja sehari lah katakan, sekali seumur hidup.
Biar Hanis puas hati’, itulah impian Mak Yah.
‘Udang celup tepung, sup sayur campur cendawan, ikan siakap masam manis. Sebut sahaja sudah terliur.
Begitulah gambaran Mak Yah. Hatinya berbunga bahagia.
Di dalam rumah Hanis sibuk menyiapkan hantaran-hantaran.
Lima berbalas tujuh.
Hanis balas tujuh dulang untuk bakal suaminya, Hafiz.
Kata orang balasan yang diberi mesti ganjil. Tidak diketahui mengapa. Petua orang tua-tua. Entah, Hanis sendiri tidak tahu. Ikut sajalah. Yang penting ia tidak memberatkan.
‘Mak Su sponsor Kek’.
‘Mak Teh sponsor baju kemeja lengkap dengan seluar dan tali leher’.
‘Ucu, Tali pinggang, dompet, kasut jenama crocodile’.
‘Tuala beli sendiri’.
‘Mak Lang janji nak carikan Mak Andam’.
‘Buah sebakul, Mak Da’.
‘Jam, ayah sponsor’.
‘3 buah buku. Hah, ini paling menarik! Buku terbitan buku prima.
*Suami mithali, isteri sejati (Dr Juanda Jaya)
*Terapi perkahwinan (Dr Ismail Tambi)
*Menjejak sang neomaskulin (Airil Haimi Mohd Adnan)
‘Harapanku agar kami saling memahami dan saling ingat mengingati bagi mencari redha Ilahi’.
Hanis bermonolog sendirian.
‘Emm, ole-ole buat tetamu’.
‘Gula-gula semua dah di isi dalam bekasnya. Telur buat ibu bapa yang hadir. Semua setel, abang Hadi dah siapkan, syukran abang’.
Hmm, debaran mula terasa. Hanis terasa ilmunya tidak cukup untuk menempuhi alam perkahwinan tapi jika difikirkan semula sampai bilapun ilmu tidak akan cukup, kerana ilmu kita terhad berbanding ilmu-Nya.
Alhamdulillah, kursus kahwin sudah dihadirinya. Buku-buku tentang suami isteri sedaya upaya dihadam sebanyaknya agar ilmu-ilmu yang dibaca terulang-ulang di minda saat waktu dia memerlukannya bila waktu menjelma.
Buku-buku berkenaan ‘parenting skill’ dikumpulnya sedari awal agar ia boleh digunakan bila insan baru hadir dalam hidup mereka kelak..indah bila memikirkan saat itu. Tapi betapa beratnya amanah yang mendatang, perkahwinan itu sebenarnya penuh dengan pengorbanan. Pengorbanan yang tersiratnya kenikmatan pada kehidupan yang abadi kelak. Malah sekolah untuk anaknya juga telah di’aim’nya. Khalifah School Model. Hah, itulah sekolahnya.
Sejenak termenung memikirkan masa depannya. Hanis tersenyum sendiri. Moga dia kuat dengan bantuan-Nya, itulah harapan dia.
Esok kami akan diikat dengan amanah. Ya Allah, berilah kekuatan.
………………………………………………………………………………………………………
Malam melabuh.
Di bawah cahaya rembulan.
Bahan-bahan dimasak.
Air gula, air masak disediakan banyak-banyak.
Ais pula sudah ditempah.
‘Kting, ktung’, bunyi periuk belanga.
‘Zrufff, zruff, zruff’, ayam digolek-golek dalam minyak panas.
Alahai merewang-merewang.
Semua bekerjasama. Berganding bahu. Yang berat sama dijunjung, yang ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah. Wah, indahnya ukhwah! Moga penuh dengan keberkatan dan terhindar dari kelalaian.
………………………………………………………………………………………………………
Lagu Irfan Makki berkumandang di ruang halaman ruman Mak Yah dan Pak Kassim pada hari bersejarah itu.
Ya Allah, berkati pasangan ini,
bahagia berkasih sayang.
Rasulullah indahnya sunnah mu,
dunia bagai di syurga.
Mabruk, mabruk, mabruk.
Congratulation to you.
Mabruk, mabruk, mabruk.
Congratulation to you.
Keberkatan terasa diudara. Majlis kesyukuran bukan sahaja mempertemukan dua mempelai yang sama sepadan, bahkan sanak saudara yang jauh dan yang dekat. Yang tak kenal jadi kenal, yang tak rapat langsung mula berbual. Alahai kenduri-kenduri, ubahlah sikap ananiah, ubahlah sikap nafsi-nafsi, ubahlah sikap individualistik. Berkenal-kenal lah, tidak mahu bercakap pun tidak mengapa, tapi senyumlah. Senyum sunnah nabi, dapat pahala sedekah lagi. Kita semuakan umat junjungan besar nabi Muhammad saw.
Sungguh teliti persiapan diadakan untuk merewang agar hasilnya memuaskan hati tuan rumah dan juga hadirin yang hadir. Saya teringat majlis-majlis yang lebih grand, pastinya di hotel-hotel siap dengan perunding perkahwinannnya yang menyiapkan segalanya. Pelamin-pelamin dihias indah, hantaran-hantaran berjenama dunia, tidak cukup dengan itu, aurat-aurat terbuka cuma ditutup hanya ketika akad nikah sahaja, tidak sempurna seluruhnya. Isu aurat bukan isu individu, bahkan ia adalah isu ummat. Semua persiapan ini mencapai ribuan ringgit bahkan mungkin saja mencapai jutaan. Ya, mungkin sahaja kerana mereka mampu, tapi perlu diingat tidak perlu berlebih-lebihan. Cukup sekadarnya. Bebaloikah dengan persiapan yang sebegitu mewah berbanding dengan persiapan yang sederhana, tetapi harmoni, bekerjasama, ikatan ukhwah kukuh. Persiapan perkahwinan kita teliti, tapi ada satu lagi persiapan yang lagi perlu kita sedari, yang perlu kita jalani. Persiapan buat hari yang terlalu pasti kehadirannya dan selalu dilupakan. Persiapan untuk hari yang kekal abadi. Ya, hanya orang bijak yang sering mengingatinya. Ingat sahaja belum cukup, malah kita butuh sama tindakan juga.
Selamat meningkatkan amal saudara-saudara Islamku.
karya: Syamimi Ahmad
Rewang : Satu kegiatan gotong-royong yang diadakan penduduk kampung apabila hendak mengadakan sesuatu majlis atau kenduri. Kebanyakkan diadakan dalam kalangan masyarakat Melayu-Jawa.





