15 December 2011 0 Komen

Fly High


Masa.

Saya suka bertemu orang yang lebih muda.

Mereka mengingatkan saya tentang masa-masa saya yang telah lalu. Mengingatkan saya tentang siapa saya dahulu, ketika saya seusia mereka.

Kadang-kadang rasa rugi, kadang-kadang rasa bersyukur akan masa yang telah lalu.

Terlebih sering, ia mengingatkan saya tentang betapa pantas masa berlari menolak kita menghampiri kematian dan hari pembalasan.

Tempoh hari bertemu mereka yang sedang teruja nak terbang ke Jepun. Teringat zaman itu, sedih juga tidak dapat universiti pilihan pertama. Lama juga nak ambil masa menerima hakikat, setiap yang ditentukan Allah adalah yang terbaik. Sampai kena tulis satu artikel nak pujuk diri sendiri, hehe. Itulah, tarbiyyah diri sangat lemah ketika itu, bulatan gembira pun malas nak pegi, sebab itu susah sikit nak terima hakikat.

Apa-apa pun, saya cuma nak kongsikan beberapa perkara kepada mereka,

 

Harmonikan kefahaman

Kita datang ke sebuah negara yang begitu jauh dari syariat.

Ada yang terpisah-pisah duduk jauh daripada rakan-rakan. Ada yang berseorangan.

Di sini, kitalah hakim kepada diri sendiri. Kitalah yang akan menentukan sesuatu itu haram atau halal bagi diri kita.

Orang boleh berkata apa sahaja. Macam-macam pandangan, pendapat dan fatwa boleh kita dapat. Tapi akhirnya,

Dan dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam, lalu beliau bersabda : Engkau datang untuk menanyakan kebaikan ?, saya menjwab : Ya. Beliau bersabda : Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang karenanya, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwa dan menimbulkan keragu-raguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya.

[petikan hadis ke 27 : hadis 40 susunan imam nawawi]

Hati yang mengenal kebenaran sahaja yang akan rasa terganggu melakukan kesalahan.

Hati yang mengenal iman, yang akan rasa malu membuat maksiat.

Meskipun, sekalian manusia di sekeliling menghalalkannya.

Jadi, sebelum terbang jauh, harmonikanlah kefahaman masing-masing tentang agama ini. Halal haramnya, yang bukan hanya pada makan dan minum semata-mata.

Dampingilah orang-orang yang mampu mengharmonikan kefahaman agama kita.

Agar kita datang ke sini, dengan penuh bersedia.

 

Jaga Keterikatan Dengan Allah

Di mana pun jua, tidak ada manusia yang mampu menjaga diri kita lebih baik daripada Allah.

Hebat mana pun tarbiyyah yang pernah kita terima, Allah jua lah sebaik-baik pemberi tarbiyyah.

Dekatkan diri dengan Allah, sebelum Allah menjadikan kita orang-orang yang lupa diri, lupa daratan, sehingga menjadi orang-orang yang fasik.

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

[59:19]

 

Santuni Keluarga

Penuhi masa-masa yang berharga dengan ibu bapa dan keluarga.

Jangan bergaduh dengan ibu bapa.

Terutama hal-hal yang remeh temeh. Kalau mak suruh bawa apa-apa, bawa sahajalah, untuk ambil hati mereka.

Jangan guris perasaan mereka di saat-saat akhir.

Siapa tahu, tidak ada peluang lagi untuk kita mengambil hati mereka selepas ini.

 

Itu sahaja dulu rasanya.

Hehe segan pula tulis benda macam ini, terasa macam dah tua sangat.

Apa-apa pun, saya doakan, kita semua, dan mereka khususnya, dipermudahkan Allah segala urusan lebih-lebih lagi di saat-saat akhir ini.

Selamat datang ke Jepun. :)

-random-

Leave a Reply