A, B atau C?
Bila kita kata ‘A’ dia kata ‘B’. Seorang lagi pula kata ‘C’. Jadi, nak pilih yang mana? Atau, yang mana betul? Ya, saya pernah menghadapi situasi ini dalam kehidupan seharian. Ketika itu saya memilih untuk menjadi pendengar saja. Ramai umat Islam, bahkan sesiapa sahaja pada hari ini melihat perbezaan pendapat itu sebagai pencetus pergaduhan atau perbalahan.
Ternyata pandangan itu silap. Mengapa?
Sepatutnya perbezaan pendapat menjadi pembentuk sikap tolak-ansur kita. Menjadikan kita harmoni. Melahirkan umat Islam yang inovatif dan kreatif. Membentuk masyarakat yang berfikiran jauh dengan memikirkan baik buruk sesuatu perkara. Tidak melampau jika saya katakan selama ini, kita berfikiran terlalu sempit dengan menolak pendapat lain mentah-mentah. Hal ini mungkin dipengaruhi perasaan benci atau egois dalam diri, syak wasangka, atau mungkin juga sebab-sebab lain.
Saya ingin mengajak anda merenung firman Allah:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka, dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (Surah al-Syura, ayat 38)
Sebab itulah, dalam Islam ada konsep musyawarah, untuk kita membincangkan penyelesaian kepada sesuatu masalah atau perkara.
Kia juga mesti ingat, perbezaan pendapat juga mesti dikawal. Janganlah sampai pendapat yang kita utarakan menyakiti hati pihak lain atau mendatangkan pepecahan.
Dalam segala hal, sepatutnya kita rujuk kembali sirah Rasulullah. Bukankah Rasulullah itu qudwatun hasanah?
Rasulullah SAW merupakan contoh pemimpin terbaik yang menegakkan prinsip musyawarah dengan sempurna dalam kehidupannya. Walaupun Baginda pemimpin bagi umat Islam, Baginda tidak pernah mengetepikan pandangan sahabat dalam menentukan hala tuju dan wawasan pentadbiran umat Islam pada ketika itu.
Contoh. Ketika perang Uhud, umat Islam bermusyawarah untuk menentukan taktik dan strategi peperangan sama ada melancarkan serangan keluar dari Madinah atau bertahan saja di kota Madinah.
Pada ketika itu, Rasulullah mengusulkan supaya bertahan di Madinah.
Lalu seorang sahabat bertanya: “Apakah usul itu wahyu Ilahi atau usul baginda sendiri?
Jawab baginda: Usulnya itu adalah usul peribadinya, bukan wahyu Ilahi.
Pada sesi musyawarah berkenaan, akhirnya Rasulullah memutuskan untuk menerima pendapat orang lain yang disokong oleh majoriti besar umat Islam biarpun bertentangan dengan pendapat Baginda sendiri.
Jadi kesimpulannya, layakkah kita insan yang kerdil ini menolak pendapat orang lain dalam mesyuarat atau perbincangan?
Wallahu’alam bissawab.





