Cahaya Atas Cahaya
Dahulu.. Aku hidup dalam kebingungan,
Seolah-olah fatamorgana di tanah yang datar,
Yang disangka air oleh orang-orang yang kehausan,
Tetapi apabila didatangi tidak ada apa pun,
Aku hidup di dalam gelap gelita,
Seperti di lautan yang dalam,
Diliputi oleh gelombang demi gelombang,
Di atasnya ada lagi awan yang gelap,
Itulah gelap gelita yang berlapis-lapis,
Apabila aku mengeluarkan tanganku,
Hampir aku tidak dapat melihatnya…
Suatu hari,
Dia mengurniakan aku cahaya-Nya,
Indah dan bersinar lebih megah dari Sang Mentari,
Pesona cahaya-Nya menusuk kalbu.. Aku mahu cahaya itu..
Aku jatuh.. Aku bangun.. Aku bertatih.. Aku berjalan..
Aku merangkak, berlari ke cahaya-Nya,
Bila cahaya menerangi,
Hidupku dalam seribu rahmat, seribu nikmat,
Nikmat yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata,
Nikmat yang tidak mampu ditulis dengan tinta,
Inikah cahaya di atas cahaya?
Syukur! Syukur! Alhamdulillah! Alhamdulillah!
Zikir Sang Hamba kepada Maha Pencipta,
Tersungkurlah wajah, sujud syukur kepada yang Esa, Pemberi Rahmat lagi Maha Pencinta,
Marilah.. Carilah cahaya-Nya, dan kamu akan bertemu bahagia…






