Satu Jalan Saja
Ada satu perbualan ringkas yang buat saya tersentuh.
Si A bertanya kepada si B;
” Kenapa kamu memilih untuk berada di jalan dakwah?”
B tersenyum lantas menjawab;
” Apakah kamu melihat ada dua jalan? Kerana aku merasa hidup ini ada satu saja jalan. Tidak ada dua, tidak ada tiga. Tidak ada pilihan. Ianya jalan menyeru orang kepada kebaikan.”
Si A tergamam mendengar jawapan si B lantas dia tunduk memusahabah dirinya.
Ya.
Kenapa manusia sering menganggap hidup ini ada banyak jalan?
Kenapa perlu memilih antara usrah dan pergi menonton wayang?
Kenapa perlu memilih antara solat dan teruskan menonton drama melayu?
Kenapa perlu memilih antara bangun solat subuh dan teruskan tidur di katil empuk?
Sedang Allah s.w.t telah mengingatkan kita dalam al-Quran maksudnya;
” Bagi setiap umat telah Kami tetapkan syariat tertentu yang (harus) mereka amalkan, maka tidak sepantasnya mereka berbantahan dengan engkau dalam urusan (syariat) ini, dan serulah (mereka) kepada Tuhanmu. Sungguh, engkau (Muhammad) berada di jalan yang lurus.”
[ Al-Hajj 22: 67]
Ya, dalam hidup kita ada pilihan. Tapi harus kita ingat, satu jalan saja yang boleh membawa kita masuk ke syurga Allah s.w.t.
Analoginya mudah, bayangkan ada dua buah bilik. Satu bilik sangat cantik, kecantikannya tidak pernah kita lihat sebelum ini, di dalamnya disediakan perempuan yang cantik untuk para lelaki, lebih cantik dari artis-artis pujaan kita selama ini. Dan disediakan juga perhiasan yang sangat cantik untuk wanita, lebih cantik dari rantai dan gelang emas yang kita gayakan sekarang.
Satu bilik lagi tidak ada apa-apa. Biliknya hangat. Panas. Dari luar sudah dapat rasa panasnya bilik itu.
Agak-agak, bilik mana yang panjang orang beratur untuk masuk?
Secara logik pun memang manusia akan memilih tempat yang cantik dan menyenangkan kan?
Begitu juga bila kita di alam kekal abadi nanti.
Tahu atau tidak, hidup kita di dunia ni sekejap saja. Sebab lepas kita mati, bermula kehidupan kita di alam lain dan ianya kekal abadi, infiniti, tidak dapat dihitung tempohnya.
Walau kita hidup 60 tahun sekalipun, dunia ini tidak ada nilai pun jika kita tidak gunakan untuk beramal mencari bekal menuju kehidupan akhirat. Jadi, untuk masuk syurga Allah, kita tiada pilihan melainkan mengisi kehidupan kita dengan perkara-perkara yang mengingatkan kita kepada Allah s.w.t.
Oh, jadi sepanjang hidup kena solat saja la?
Siapa kata hanya solat saja ibadah? Keseluruhan hidup kita ni kan ibadah. Makan ke belajar ke buat research ke kalau kita niat untuk Allah s.w.t semata, ianya bernilai ibadah!
“Aku nak berubah tapi seakan ada halangan.”
Memang kalau kita nak berubah menjadi baik kita akan rasa ada halangan. Kerana musuh segala kebaikan itu tidak pernah putus asa menggoda kita melakukan kejahatan.
Siapa musuh kebaikan?
” (Iblis) menjawab, ” Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian pasti aku akan datangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” [ Al-'Araf 7: 16-17]
” Oh, kalau macam tu susah lah nak lari dari syaitan. Syaitan dah kata tu dia akan datang dari depan belakang kiri kanan.
“
Sabar-sabar. Belum habis lagi. Syaitan pun makhluk Allah juga. Allah ada berfirman lagi;
” Sungguh, syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan. Pengaruhnya hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin dan terhadap orang yang mempersekutukannya dengan Allah.”[ Al-Nahl 16: 99-100]
Ada jalan untuk kita ‘lari’ dari syaitan ni. Jadinya, masih ada cara untuk kita mengelakkan diri daripada berbuat kejahatan. Kita perlu menjadi orang beriman dan bertawakal.
” Macam mana nak jadi orang yang beriman?”
Kata Maher Zain, InsyaAllah, ada jalannya
Tuntutlah ilmu. Belajarlah tentang Islam, belajarlah tentang tauhid untuk mengenal Allah s.w.t, Pencipta kita. Kerana hanya orang yang mengenal Allah, akan menjalani hidup kerana Allah kerana mereka yakin dan percaya dengan apa yang Allah perintahkan.
Namun, jika kita masih memilih jalan jahiliah yang dipandu syaitan, mari kita muhasabah ayat ini.
” Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, ” Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku ( dengan Allah) sejak dahulu.” Sungguh, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih. [ Surah Ibrahim 14: 22]
Syaitan sendiri mengaku yang jalan yang dia seru itu adalah menyalahi seruan yang sebenar. Dan syaitan juga melepas diri dari menjadi pembela kita kelak.
Jadi tepuk dada, tanyalah iman. Mahukah lagi kita hidup dalam jahiliah, mengikut apa yang syaitan bisikan hingga kita terlupa, terlalai bahawa ada lagi perintah Allah yang kita belum kerjakan.
Jadi, sudahkah jelas dimata kita, jalan mana yang paling baik? Jalan mana yang memandu kita ke syurga Allah s.w.t? Ianya jalan menyeru orang kepada kebaikan.
” Baikilah diri dan serulah orang lain.”
Satu kata-kata, menunjukkan tarbiyyah dan dakwah itu bergerak seiringan.
Jadi, marilah susuri jalan dakwah, jalan menyeru orang lain kepada kebaikan dan kepada Allah s.w.t. Tapi jangan lupa, bekal untuk menyeru diri sendiri dan orang lain kepada kebaikan adalah tarbiyyah
Mari berusaha!
Kata orang jepun, Ganbatte Kudasai!
Related posts:
- Satu Kesilapan
- Adakah firman itu satu penipuan?!
- Al-Fatihah : Tunjukkanku Jalan Yang Lurus
- Ikhtilat-Satu kemusykilan…
- AJL 24 dan Illuminati,satu perancangan?
Categories: Azzariyat



Comments
No Comments
Leave a reply