Bilik itu
Satu sejarah telah berlaku hari ini. Tidak pernah terlintas di minda. Tidak pernah terfikir dek akal. Sungguh, hari-hari yang mendatang kian aneh! Fikir Hani.
Barusan Lisa menelefonku, bercerita panjang lebar tentang duduk aturnya, langsung dia meminta pendapatku. Menurut intuisiku, rasa-rasa hanya sedikit patah perkataan yang terbit dari mulutku bagi mengiyakan bicaranya. Namun, entahla. Hakikatnya aku juga tidak perasan. Hani bermonolog usai solat Isya’ malam itu. Lama dia berteleku. Bermuhasabah panjang. Tenggelam sejenak dalam linangan air yang hangat, sekaligus menyejukkan hatinya, persis hujan yang menyejukkan badan!
…………………………………………………………………………………………………..
Bersama rakan sebilik yang baru bagi setiap kemasukan tahun lainnya adalah satu kebiasaan. Lumrah di mana-mana tempat belajar sekalipun. Dan ia merupakan satu cabaran! Tinggal sebilik dengan orang yang tidak dikenali, silap-silap semua aib diri diceritakan sana sini. Astaghfirullahal ‘azim. Minta dijauhi hal-hal sebegini.
Tinggal bersama di awal pertemuan, segala puji-pujian hanya untukNya. Manis. Iyalah, baru berkenalan, takkan tidak mahu bertegur sapa pula, betul tak? Namun, lama kelamaan rasa ‘manis’ itu menjadi semakin hambar, kerana apa? Mudah sahaja, antara jawapan yang boleh disimpulkan : kerana saling tidak cuba memahami dan mengenali, hanya sekadar rakan sebilik dan tidak lebih dari itu, bahkan jauh sekali untuk menganggap kakak atau adik ‘seiman’ yang sebenarnya perlu dilayan sebaiknya.
Hani jadi kecewa dengan diri sendiri. Sudah adat dunia, tiada yang sempurna, pasti ada cacat cela, pasti ada tangis tawa.
……………………………………………………………………………………………………
‘Boleh slow siket tak?!!’
Suasana sunyi seketika.
‘Cakap macam nak buat announcement!!’
Nadanya keras. Bagai satu kemarahan yang meluap dihempaskan ke gegendang telinga Hani. Kak Im benar-benar radang malam itu. Radangnya kelihatan seperti ombak ganas yang menghempas pantai. Berserabut dengan case report barangkali. Menjadi pelajar perubatan bukan mudah. Belajarnya sahaja, masyaAllah, benar-benar menuntut pengorbanan yang tinggi! Berbeza dengan Hani, berada di course yang dikatakan orang tidak berapa kritikal, lalu orang memandang coursenya lebih mudah! Apa-apapun setiap perkara pasti ada cabarannya yang tersendiri. Tidak usah direndah-rendahkan orang lain, hanya kerana kita berbeza.
Hani terkesima.Terkedu. Hati lembutnya benar-benar terasa dengan bahasa yang agak kasar itu.
Telinganya masih fokus pada pembicaraan Lisa, sambil memberi respon perlahan. Mungkin bagi menepati permintaan rakan sebiliknya. Langsung perbualan ingin cepat-cepat disudahkan, berikutan solat isya’ jemaah yang mungkin sedang berlangsung di surau blok asrama Kenari. Usai kalimah, assalamualaikum, telefon bimbit lantas di letak. Lalu kaki, cepat meluru keluar.
‘Sorry kak..sorry,sorry..’
Hanya kalimah itu secara spontan dilafazkan Hani sebelum tangan menggapai tombol pintu untuk keluar dari bilik. Hati dia benar-benar luluh. Kecewa kerana tidak cuba memahami rakan sebiliknya itu seawal perkenalan dahulu. Sungguh, dia tidak tahu apa yang bermain-main di fikiran Kak Im.
Sesungguhnya ujian sebegini hanya sedikit cuma malah tidak terbanding dengan ujian-ujian yang menimpa umat Islam terdahulu. Namun, ujian ini datang bagi memberi peringatan untuk masa hadapan, agar kita, umat Islam seluruhnya menjaga adab sopan, tatacara, akhlak seorang muslim yang sebenarnya. Simpul Hani usai refleksi diri sendiri. Hati jadi tenang. Jiwa jadi lebih lapang.
Ya Rabb perjalanan masih jauh. Dunia sebagai ladang akhirat.
……………………………………………………………………………
Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
Maka, sahabat-sahabat sekalian, kasihilah saudaramu, jiran tetanggamu, rakan sebilikmu, rakan sekelasmu, bahkan siapapun yang berada di sekelilingmu semampumu,sedayamu (mujahadatun nafs) sebagaimana kamu kasih pada dirimu sendiri. Moga Allah dan Rasul pula menyayangimu.






