Hajar
Prolog
Ikhlas itu rahsia. Daripada sekian banyaknya rahsia khazanah Allah. Hatta malaikat yang mencatat amal sebesar biji sawi pun, tidak tahu rahsia keikhlasan. Bahkan manusia yang beramal sendiri pun tidak jelas ikhlas masing-masing.
…
Jalan dakwah dan tarbiyyah ini, seronok sebenarnya. Walau mata-mata yang memandang dari luar, melihat jalan ini penuh payah, derita dan ketidakselesaan. Memang benar, banyak pengorbanan dituntut.
Mereka di jalan ini, kehidupannya tidak sama dengan yang lain (seharusnya begitulah). Di kala yang lain seronok berbelanja membeli belah pakaian-pakaian baru, bertukar-tukar fesyen setiap musim, mereka kerap kali senyum sahaja. Wang yang ada harus dicatu, beli apa yang perlu sahaja, supaya akhir bulan, boleh berkumpul belajar agama.
Di kala ada yang begitu seronok menikmati, satu demi satu pusat-pusat hiburan, taman tema permainan, pameran demi pameran, mereka kerap kali senyum sahaja. Masa yang ada harus diurus, amanah dakwah dan tarbiyyah makin menggunung, cita-cita saban hari kian besar ingin Islam memerintah dunia, tanggungjawab akademik juga harus cemerlang.
Di kala ada yang seronok bermalas-malasan di rumah, bersantai-santai di celah-celah selimut tebal di pagi hujung minggu musim sejuk, mereka kerap kali senyum sahaja memerhati. Cuti yang jarang-jarang harus dimanfaat, banyak lagi jiwa-jiwa yang perlu disantuni, digagahi juga berlari ke sana ke mari, meski tubuh meronta-ronta ingin berehat.
Memanglah kalau dipandang dari luar, tidak seronok kehidupan mereka ini. Entah apa-apa entah! Duit, masa, tenaga, semua dikawal-kawal, diserahkan selagi upaya pada jalan dakwah dan tarbiyyah yang memang tak dapat apa-apa hasil di dunia ini. ‘Tak ada life’ kata orang sekarang.
Tetapi sebenarnya mereka seronok. Di jalan ini, ada ketenangan, kebahagiaan, kehangatan ukhuwwah dan kasih sayang.
Jadi, sebab itu mereka ini gagah juga. Meski banyak yang dikorbankan, banyak juga kebahagiaan-kebahagiaan hidup yang hanya mereka yang melalui jalan ini bersungguh-sungguh sahaja yang merasa.
‘Sumpah OSEM’ kata mereka.
Sehinggalah akan tiba ketika mereka diuji.
Bagaimana jika bulatan gembira yang dihadiri, tidak lagi menggembirakan hati.
Konferens riang yang dihadiri, tidak lagi riang dan ceria di hati.
Salam yang bersambut, bahkan tambah menyakitkan.
Bibir yang tersenyum, bahkan tambah melukakan.
Bagaimana jika, berjalan di jalan ini, tanpa terasa hangatnya ukhuwwah.
Bagaimana jika terasa seperti bersendiri seorang diri, berlari dan terus berlari, tanpa tahu ke mana sebenarnya destinasi. Tapi larian tidak boleh dihentikan.
Masihkah sudi, melangkah di jalan ini?
…
Epilog
Ikhlas itu rahsia. Daripada sekian banyaknya rahsia khazanah Allah. Hatta malaikat yang mencatat amal sebesar biji sawi pun, tidak tahu rahsia keikhlasan. Bahkan manusia yang beramal sendiri pun tidak jelas ikhlas masing-masing.
Kerana itu, adakala kita diuji di jalan ini. Masihkah sudi berlari, jika tinggal seorang diri. Tanpa segala manfaat di sisi.
Sudikah menjadi Hajar, yang berlari tanpa henti. Meski seorang diri, dan tidak tahu destinasi, bahkan keliru akan apa yang dicari sebenarnya. Namun Hajar terus berlari, kerana yakin, walau tiada siapa di sisi, Allah sentiasa memerhati.
Memang ikhlas itu rahsia Illahi. Dan kita pasti akan diuji. Berlari dan berlari.
Sehingga tertunai sebuah janji
.
.
Inna solati, wanusuki, wamahyaya, wamamati, lillahi rabbil alamin.
No related posts.
Categories: Azzariyat



Comments
No Comments
Leave a reply