6 February 2012 0 Komen

Berjalan seiring waktu..

Berjalan seiring waktu,

Kita semakin rakus mengejar dunia,

Tanpa kita sedar yang Kiamat itu sudah hampir tiba.

Berjalan seiring waktu,

Kita semakin ghairah mencipta nama mengejar harta,

Sehingga kita lupa bahawa semua itu hanya sementara.

Berjalan seiring waktu,

Kita jadi bangga bila mendedahkan apa yang patut ditutup,

Kita seakan tidak ingat bahawa bertamadunnya manusia itu dengan berpakaian.

Berjalan seiring waktu,

Kita lebih mengenal si penyanyi dan pelakon,

Berbanding nabi kita sendiri, berbanding kisah sahabat yang sejuta kali lebih hebat.

Berjalan seiring waktu,

Kita sibuk mencari petunjuk dalam karya manusia,

Hingga Al-Quran ditinggal di atas almari, Sunnah Rasul diletak tepi.

Berjalan seiring waktu,

Kita susah payah mencari ketenangan hati,

Kita buat-buat tak nampak pada kehebatan solat yang ada ketenangan hakiki.

Berjalan seiring waktu,

Kita jadi pening memikirkan cara mengawal nafsu,

Hingga kita lupa kuasa sebuah puasa yang mampu menundukkan syahwat.

Berjalan seiring waktu,

Kita semakin terdesak mahu mencari penawar kadar kenaikan jenayah,

Ironinya, kita masih tegar menentang pelaksanaan hudud.

Berjalan seiring waktu,

Manusia rakus mengisi perut sendiri,

Tanpa sedar akan hati yang hampir mati.

Berjalan seiring waktu,

Setiap insan bergermbira bagai dapat hidup seribu tahun lagi,

Padahal tiada yang lebih dekat dari kita selain mati.

Berjalan seiring waktu,

Kita lebih memilih berkumpul di tempat lagha,

Berbanding duduk selamat dalam lingkungan usrah.

Berjalan seiring waktu,

Sungguh manusia itu semakin pelik,

Tegar memilih keenakan dunia yang hanya sekejap.

Berjalan seiring waktu,

Sedih melihat insan yang semakin bongkak,

Pada kekuatan diri yang bukan milik sendiri.

Berjalan seiring waktu,

Manusia semakin lupa,

Bahawa adanya Syurga dan Neraka.

Berjalan seiring waktu,

Tetaplah kamu pada jalan kebenaran ini,

Agar akhirnya nanti dalam redha Ilahi.

Berjalan seiring waktu,

Tetaplah kamu dalam kelompok asing,

Kerana telah dijanjikan Islam itu berakhir dalam keasingan.

Berjalan seiring waktu,

Semoga nasihat yang secebis ini,

Mampu menjadi peringatan pada kalian juga diriku sendiri.

 

Leave a Reply