Saidina Umar Adil Tapi Langgar Hukum Allah?
“Weh, Ustat cakap kalo orang yang tak kawin wat zina, kene sebat 100 kali dan orang yang kahwin kene rejam sampai mati.Tapi..” Tanya Khairul Anwar.
“Tapi..?”Soal saya balik.
“Tapi bukanke ade cite yang anak saidina Umar dirotan sampai mati sebab berzina?”Soal Khairul Anwar sambil merenung tajam ke mata saya.
“Ye tak ye,tapi anak die da kawin ke belum tyme tu?”
“Tak taw tapi tak kisahlah kawin ke tak tapi Umar rotan anak die sampai mati, bukan rejam sampai mati. Bukanke lain dengan hukum agama?”
Saya terdiam, tiada jawapan dapat diberikan. Ye tak ye, tidak pernah saya terfikir tentang itu. Seringkali cerita tentang Umar Al-Khattab keadilan Umar dalam menegakkan hukum Ilahi meniti bibir-bibir penceramah, baik di bilik kuliah mahupun masjid, baik abang usrah mahupun ustaz. Memang, berdasarkan cerita itu, Umar memang adil kerana sanggup menyebat anak sendiri yang melakukan maksiat sehingga mati tapi persoalan yang patut dibincangkan bukanlah daripada perkataan ‘sanggup’ tapi daripada perkataan ‘sebat sampai mati’.Supaya anda lebih jelas tentang cerita Umar menyebat anaknya, sila baca kisah di bawah:
Riwayatnya dengan Sa’id bin Masruq. Beliau menerangkan bahawa ada seorang perempuan (imraah) selalu berulang-alik ke rumah Sayyidina Umar r.a. Bersamanya ada seorang kanak-kanak. Pada suatu hari Sayyidina Umar bertanya dia, “Anak siapakah bersamamu ini?” Perempuan itu menjawab, “Inilah anak kepada anak tuan, Abu Syahmah. Dia telah menyetubuhi saya sehingga melahirkan anak ini.” Sayyidina Umar terus memanggil anaknya Abu Syahmah dan bertanya beliau tentang perkara itu. Abu Syahmah mengaku. Lantas Sayyidina Umar memerintahkan Sayyidina Ali supaya menyebat anaknya itu. Maka Sayyidina Ali menyebatnya sebanyak 50 sebatan, 50 sebatan lagi dilaksanakan oleh Sayyidina Umar sendiri. Kemudian anak itu dibawa ke hadapan Sayyidina Umar dalam keadaan tercungap-cungap seperti akan mati. Anak itu berkata, “Ayah! Ayah telah membunuh saya.” Mendengar kata-kata anaknya itu Sayyidina Umar berkata, “Bila engkau bertemu Tuhan, ceritakanlah kepadaNYA bahawa ayahmu telah melaksanakan hudud Allah.”
Persoalan yang diutarakan oleh Khairul Anwar benar-benar menarik minat saya untuk mengkajinya dan kesimpulannya, cerita di atas sebenarnya direka-reka oleh golongan Syiah. Golongan ini menggunakan kaedah ‘penghinaan dalam pujian’ supaya kisah di atas nampak mulia walhal jika dikaji secara terperinci, kisah di atas jelas sekali menyatakan Saidina Umar buta agama, tidak tahu jinayat Islam. Golongan ini bertujuan memburukkan sahabat-sahabat yang lain demi memuliakan Saidina Ali dan ada yang lebih teruk, Rasulullah juga diburukkannya. Kata mereka Jibrail tersalah sampaikan wahyu kepada Rasulullah, sepatutnya wahyu itu disampaikan kepada Saidina Ali, mustahil dan tidak masuk akal!
Ada beberapa sebab kenapa kisah di atas boleh ditolak atau dikategorikan sebagai kisah palsu yang tidak ada kaitan lansung dengan sejarah malah menjadi racun sejarah. Sebab pertama ialah tiada sebat sampai mati dalam jinayat Islam, masakan Umar yang arif tentang agama tidak tahu-menahu dalam bab itu? Malah jika diperhatikan kisah di atas, hanya anak Umar sahaja yang dikenakan hukum hudud, sebaliknya apa yang berlaku ke atas perempuan itu tidak diceritakan. Sebab kedua, Umar seperti mendesak anaknya supaya mengaku bahawa dia telah melakukan penzinaan sedangkan hukum hudud sebolehnya tidak dilakukan jika tiada saksi dan bukti yang kukuh.
Jadi, kepada ‘kaki internet’ sekalian, janganlah ‘tangkap muat’ semua cerita yang anda baca dalam internet dan sampaikan kepada orang lain secara mudah-mudah tanpa siasat dahulu kesahihan cerita. Biarpun cerita itu menampakkan kemuliaan Islam, jika cerita itu tidak sahih, jangan sampaikan kepada orang lain.
Sesungguhnya sejarah itu boleh tersebar melalui penulisan, artifak dan mulut ke mulut, dan penyebaran sejarah melalui mulut ke mulut adalah yang palin bahaya dan tidak sahih. Jadi, jika artikel sebelum ini fikir dahulu sebelum buang, sekarang, FIKIR DAHULU SEBELUM SAMPAIKAN!


