22 June 2010 4 Komen

Syukur, kita orang Islam~

Syukur, kita orang Islam~

Ada satu anugerah yang jarang disyukuri manusia. Biasa yang kita dengar. Si pelajar bersyukur dengan markah peperiksaan yang cemerlang. Si suami soleh bersyukur mendapat isteri solehah. Si ibu bersyukur di kurnia anak-anak yang bijak pandai. Si peserta Akademi Fantasia juga bersyukur apabila bergelar juara. Pendek kata, di dunia ini manusia akan bersyukur apabila mendapat perkara yang diingini. Namun satu perkara yang mungkin lupa disyukuri oleh kebanyakan manusia adalah nikmat lahir sebagai seorang Islam. Apabila lahir saja, kita diazankan, nama pula diberi berbin dan berbintikan bapa, tandanya kita seorang yang beragama Islam. Baca selebihnya entri ini —>

5 November 2009 13 Komen

Jika Anda Seorang Nabi?

Jangan risau ini bukan laman web ajaran sesat, dan saya juga tidak berniat menambahkan koleksi nabi palsu di Malaysia. Cuma saya terfikir sesuatu ketika sedang mandi petang semalam. Seketika dahulu, saya selalu mendengar dialog-dialog seperti “aku bukan nabi, aku manusia biasa!” dan seumpanya. Kebiasaannya dialog ini dituturkan oleh seseorang yang menolak untuk berbuat sesuatu perkara yang baik (setelah dinasihatkan atau tidak). Contoh situasinya seperti di bawah:

Wan       : Kau ni dah lama sangat bergaduh dengan si Ali tu. Maafkanlah dia, sedangkan nabi pun ampunkan umat.

Asraff    : Aku bukan nabi, aku manusia biasa!

Situasi ini sebenarnya mendidik jiwa kita untuk berfikir dan memandang sesuatu dari sudut pandangan yang berbeza daripada apa yang Islam mahukan. (jika saya tersalah tolong betulkan). Seringkali kita merasakan Nabi Muhammad itu seperti superhero dalam komik, seperti superman, batman dan sebagainya. Kita menyedari dan menyanjung kehebatan Nabi Muhammad namun kerana kehebatan itu dirasakan melampaui batas kemampuan manusia biasa, maka kita merasakan mustahil untuk melakukan perkara yang dilakukan Nabi Muhammad (mencontohi Rasulullah).

Satu perkara yang bukan kita terlupa, tetapi kadang kala kita tidak sedar, bahawa Nabi Muhammad juga manusia biasa seperti kita, dan Allah mengutuskan nabi di kalangan manusia supaya boleh diteladani dan menjadi contoh ikutan kepada manusia.

Apakata hari ini kita bayangkan kita yang berada di tempat nabi, bagaimana agaknya keadaan kita?

  • Cuba bayangkan anda mendapat arahan untuk memastikan semua orang di kawasan anda memasuki sebuah skim cepat kaya. Cara untuk menyertai, semua orang perlu rela memberikan semua harta benda mereka termasuk rumah, isteri dan anak-anak mereka kepada skim ini, dan mereka akan dijanjikan pulangan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus kali ganda daripada itu. Dan anda memberi jaminan perkara ini memang pasti akan terjadi! Bagaimana perasaan anda? Adakah anda rasa orang akan percaya dengan skim cepat kaya anda? Adakah jaminan yang anda berikan mampu menimbulkan kepercayaan itu? Lebih penting daripada itu, mampukah anda mengajak semua orang menyertainya?

Mari kita buat sedikit eksperimen, apakata anda cuba laksanakan perkara di atas dengan bersungguh-sungguh. Anda pasti akan berasa malu, takut, gementar kerana anda tahu orang akan mentertawakan anda, orang tidak akan percaya kepada anda kerana apa yang anda bawa sangat bertentangan dengan kepercayaan masyarakat umum.

Mungkin, Rasulullah juga merasakan demikian ketika diminta menyampaikan Islam kepada umatnya. Umat ketika itu tidak mengenal Allah, malah mereka tak pernah melihat malaikat Jibrail, di peringkat awal mereka mereka tidak melihat bukti apa yang diturunkan al-Quran menjadi realiti dan tidak ada satu sebab pun untuk mereka percaya dengan apa yang nabi bawa. Memang benar akhlak nabi serta gelaran al-Amin menjadi pertaruhan untuk mendapatkan sokongan masyarakat jahiliyyah ketika itu, namun jika dibandingkan dengan pengorbanan yang dituntut kepada masyarakat, akhlak nabi tidak cukup untuk meraih kepercayaan majoriti umat. Kerana ketika itu masyarakat kaya dengan aktiviti menjual berhala, tiba-tiba nabi datang dan menyuruh berhenti menjual berhala, dan menjanjikan syurga, pahala serta bercerita tentang tuhan, neraka dan dosa, sesuatu yang tak pernah terlintas pun di fikiran umat ketika itu.

Maka hari ini, apabila anda menyedari kewajiban berdakwah, jangan sesuka hati memberi alasan. Ya memang benar, anda mungkin menghadapi kesukaran dan sebagainya, namun ketahuilah Nabi juga telah 1400 tahun dahulu merasakan perasaan yang sama. Malah ketika ini, al-Quran telah lengkap diturunkan, serta telah banyak perkara yang diturunkan al-Quran benar-benar terjadi sebagai bukti kebenarannya, maka apa lagi alasan yang tinggal untuk kita tidak berdakwah kecuali hanya kerana kita tidak mahu?

  • Cuba bayangkan pula, anda pulang ke rumah dan mendapati rumah anda terbakar dan seluruh ahli keluarga terkorban bersama-sama harta yang anda miliki. Anda hilang tempat bergantung, tiada tempat berteduh dan tiada harta. Anda merantau berjalan kaki meredah berbelas-belas kilometer perjalanan dan akhirnya sampai ke sebuah kampung. Di kampung tersebut, masyarakatnya mengamalkan aktiviti yang sangat pelik, iaitu makan menggunakan kaki tidak menggunakan tangan. Anda pun masuk ke kampung tersebut dengan niat untuk menasihati masyarakat untuk mengubah tabiat, kerana perbuatan itu boleh memudaratkan kesihatan. Selain itu, anda juga berharap semoga mendapat tempat berlindung.

Namun malangnya, apa yang terjadi adalah, anda dibaling dengan batu, kayu, najis dan sebagainya dan dihalau keluar dari kampung tersebut seperti seekor binatang kerana teguran anda ke atas tabiat makan mereka. Apakah perasaan anda ketika itu? Pertama anda baru kematian ahli keluarga dan kehilangan tempat bergantung. Kedua, anda menegur untuk kebaikan mereka. Ketiga jika mereka tidak suka sekalipun, tidak perlulah menghalau anda sedemikian rupa, kerana anda juga manusia biasa.

Dengan segala yang berlaku itu, mampukah anda memaafkan penduduk kampung tersebut? Dalam kecamuk jiwa itu, jika tiba-tiba anda mendapat tawaran untuk menghancurkan kampung tersebut, adakah anda akan menolaknya?

Tidakkah anda terfikir nabi juga merasakan pengalaman yang lebih kurang serupa ketika ke Taif? Dalam keadaan isteri dan bapa saudaranya meninggal dunia, pergi ke suatu tempat yang jauh untuk menyampaikan kebenaran dan menyelamatkan manusia daripada api neraka dan tiba-tiba dihalau seperti sehina-hinanya, apakah perasaan nabi ketika itu? Dalam keadaan seperti itu pun, nabi mampu memaafkan penduduk Taif sedangkan nabi boleh menghancurkan mereka dengan menghempap gunung ke atas mereka setelah dipelawa malaikat.

Jadi ketika anda sedang marah kepada seseorang, dan merasakan sangat mustahil untuk memaafkannya, ketahuilah bukan mudah juga untuk nabi mengawal perasaannya untuk memaafkan penduduk Taif. Namun nabi mampu melakukannya, mengapa tidak anda?

Sebagai kesimpulan, artikel ini sebenarnya hanya mahu mengajak anda berfikir bahawa Nabi Muhammad memang seorang manusia yang cemerlang. Namun cemerlang dan hebatnya baginda bukan dengan melakukan perkara-perkara luar biasa yang tak mampu tercapai dek akal manusia (melainkan mukjizat), namun kerana melakukan perkara-perkara yang biasa dengan cara yang luar biasa. Berdakwah, memaafkan orang lain, bersabar, amanah dan sebagainya, semuanya merupakan perkara yang mampu kita sebagai orang biasa lakukan. Kita tak perlu menjadi seorang nabi untuk mampu melakukannya.

Sekiranya ada di antara kita berpendapat, Nabi dipelihara dan dibantu oleh Allah, maka mari kita tanyakan pada diri sendiri, bukankah Tuhan kita sekarang adalah Tuhan yang sama membantu Nabi dahulu? Bukankah Tuhan kita sekarang adalah Tuhan yang sama yang menaikkan kegemilangan umat Islam sehingga memerintah 2/3 dunia? Jika Tuhan yang sama (iaitu Allah) itu mampu membantu dan berkuasa mengubah nasib manusia-manusia zaman silam, mengapa anda merasakan Tuhan yang sama tidak mampu membantu anda? Ataukah anda merasakan yang anda ini masih belum layak dibantu? Maka kalau itu sebabnya, adakah Tuhan yang patut diubah, atau diri sendiri yang patut diubah?

Wallahualam, setakat itulah idea yang dapat saya fikirkan ketika sedang mandi semalam. Moga-moga ada pengajaran walaupun sedikit yang dapat diambil. Jika analogi atau contoh terlalu melampau saya mohon maaf, dan jika ada kesilapan mohon kalian pembaca tolong tegurkan.

Wassalam.

25 June 2009 1 Komen

Nak Jadi Baik

jari_bagus_thumb Kehidupan seorang muslim penuh dengan seruan untuknya memperbaiki akhlak dan kelakuan terhadap hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Bahkan dilorongkan segala jalan, disuruh berpuasa, bersolat, berzakat untuk membantu mendidik hati. Untuk meninggikan lagi darjat kita sebagai umat yang mulia, digubal segala bentuk peribadatan agar tidak menyamai kaum-kaum terdahulu (pertukaran arah kiblat, disunatkan berpuasa hari asyura berserta hari sebelum/selepasnya dan lain-lain). Sehingga ke soal remeh temeh seperti makan minum pun, umat ini dijaga kemuliaannya. Kita dilarang makan babi kerana hinanya babi yang menjamah apa sahaja hatta najis sehingga tidak layak bagi kita umat yang mulia menjadikannya sebahagian darah daging kita. Seperti itu juga dengan larangan memakan daging keldai yang sinonim dengan sifat bodoh dan hina. Begitu sekali Allah memuliakan umat ini.

Sehinggakan kita disuruh berdoa sekurang-kurangnya 17 kali sehari agar ditunjukkan jalan yang lurus, bukan jalan orang yang dimurkai (yahudi) dan bukan pula jalan orang yang sesat (nasrani). Maka sepatutnya setelah beratus ribu kali kita memohon ditunjukkan jalan yang lurus, masih lagi umat ini tenggelam dalam masalah maksiat dan gejala keruntuhan akhlak. Semakin bertambah usaha membersihkan masyarakat semakin banyak pula terhasilnya ‘sampah masyarakat’.

Mari teladani bagaimana terhasilnya sampah masyarakat ini. Analoginya pertama, ibaratkan sebatang pen, saya ambil dan cucuk-cucuk pada dinding. Akhirnya pen itu rosak dan menjadi ‘sampah’ untuk dibuang. Analogi kedua, ibaratkan tin sardin, saya buka tin dan memasak isi tin, maka tin itu sudah hilang fungsinya maka ia menjadi ‘sampah’ untuk dibuang. Kesimpulannya, sama ada digunakan bertentangan dengan matlamat penciptaan sehingga rosak atau kehilangan fungsi diri, maka ia menjadi sampah.

Begitu juga sampah masyarakat. Manusia yang dicipta dengan semulia-mulia keadaan untuk menjalankan tugas yang mulia, bertindak membelakangi tujuan penciptaannya. Maka manusia-manusia ini rosak akidahnya, rosak akhlaknya sehingga tidak berfungsi kepada masyarakat dan layaklah kita gelarkan ‘sampah’ masyarakat yang layak ‘dibuang’ sahaja dalam tong gelap bernama ‘kubur’.

Hairannya semakin banyak pula sampah-sampah ini muncul di Malaysia, negara rasmi Islam yang rata-rata masyarakatnya berdoa 17 kali sehari memohon ditunjukkan jalan yang lurus.

Apakah kita memang sudah hilang minat menjadi baik?

Saya yakin tidak. Kaji selidik baru-baru ini ke atas batch 5, rata-rata masing-masing memasang tekad untuk menjadi baik. Jelasnya, fitrah seorang manusia untuk menjadi baik belum lagio terluput dari dada masyarakat akhir zaman ini.

Namun mungkin hasrat kita menjadi baik tidak sekuat mana. Teladani kisah Socrates ini :

Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”

“Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai”, jawab Socrates.

Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.

“Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?”, katanya.

“Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.

“Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air”, tegas Socrates.

Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan. Terdesak!

Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.

“Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?”, tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.

“Engkau nak bunuh akukah?”, geram benar bunyinya.

“Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?”, tanya Socrates.

“Aku nak bernafas, aku mahukan udara!”, jawabnya tegas.

“Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda”, kata Socrates.

“Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku”, tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.

[petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens - Sean Covey]

Sunnatullah menetapkan tiada yang mudah di dunia ini. Maka jika ikhlas mahu menjadi baik, maka ia tidak datang bergolek, perlu ada usaha, perlu ada pengorbanan yang mengiringi. Tekad untuk menjadi baik, perlu sekuat tekad kita untuk mahukan udara. Sebelum memulakan usaha dan langkah, perlu lebih dahulu faham, mengapa perlu menjadi baik? Mengapa perlu mendidik hati jadi baik?

Firman Allah SWT:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” [AL-Shu'araa' 26: 88-89]

Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.

Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.

Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.

Namun ada masalahnya mendidik hati yang sejahtera walaupun kita tahu matlamatnya. Kerana manusia sering sahaja diserang penyakit BOSAN.

Bosan tersenyum.

Bosan bersedekah.

Bosan datang usrah.

Bosan sembahyang.

Kerana bosan yang bersarang inilah melahirkan mat-mat rempit yang mencari kepuasan di jalan raya bagi membunuh kebosanan. Malangnya jiwa dan hati turut terbunuh.

Bosan bukanlah penyumbang kepada kelemahan. Jika ditanggapi dengan cara berbeza, ia mampu melonjakkan hikmah yang besar.

Umpamakan nasi kerabu. Mungkin nasi berwarna biru itu terhasil akibat bosannya seseorang dengan nasi lemak. Maka tercipta sejenis resepi nasi baru yang digaul bersama ulam, sambal dan pelbagai ramuan lain. al-hasil tercipta resepi yang baru, segar dan sedap.

Begitu juga dalam beramal. Mungkin ada kala kita bosan berpuasa sunat, maka hiasi kebosanan itu dengan sesuatu yang baru, seperti turun iftar berjemaah, sediakan iftar, ajak kawan berpuasa, buat games untuk berpuasa dengan ahli rumah. Buatlah apa sahaja untuk menyeronokkan diri anda beramal tika dilanda kebosanan.

Untuk tujuan itu anda perlukan suasana dan teman yang baik. Kerana setiap manusia memiliki nilai yang berbeza-beza. Anda mungkin seorang yang suka membaca al-quran tapi malas bersedekah, rakan anda mungkin rajin bersedekah tapi malas berpuasa sunat. Maka dari pelbagai kerajinan dan kemalasan, dari pelbagai akhlak dan tabiat kita saling belajar dan melengkapi satu sama lain. setiap individu ada keistimewaan sendiri (sekai ni hitotsu dake no hana).

Sebagai seorang yang proaktif anda tidak boleh menunggu suasana yang baik (teman-teman yang baik) datang sendiri. Bahkan anda perlu bergerak bersama-sama mengubah keadaan. Ubahlah diri di samping mengubah rakan-rakan. Sama-sama saling menegur ahli rumah. Bukan untuk menunjuk pandai, bahkan saling berkongsi kelebihan.

Tak perlu pergi jauh untuk membetulkan akhlak. Cuba jaga amal yang kecil untuk permulaan muqaddimah menjadi baik ini.

Jangan kamu perkecilkan sesuatu yang ma’ruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi di dalam Syi’ab al-Iman)

Umat Muhammad ini dipandang tinggi kerana mulianya akhlak yang dibawa. Sehingga dengan akhlak itu kita memimpin 2/3 dunia. Bayangkan nak tadbir 2/3 dunia yang manusianya pelbagai ragam, kalau bukan dengan akhlak yang mulia mesti kita tak mampu tadbir 2/3 dunia kerana berlaku pemberontakan jika ada yang tidak berpuas hati. Kepimpinan kita membuktikan kita mampu memuaskan hati 2/3 dunia. Dengan apa? Dengan akhlak yang mulia.

Mari mulakan langkah pertama muliakan akhlak kita semulia penciptaan kita. Mulakan dengan amal yang paling mudah untuk dilaksanakan.